Desas-desus berkenaan pembantu maya dinamakan Cortana bukan sesuatu yang baru. Sebelum ini, ia telah kedengaran beberapa kali dan dijangka akan hadir bersama-sama Windows Phone 8.1. Hari ini, sebuah paparan skrin hadir untuk Cortana, disamping beberapa info tambahan mengenainya.
Cortana dikatakan akan mengantikan sokongan carian Bing yang terdapat pada Windows Phone 8.1, sekaligus memudahkan pengguna peranti Windows Phone untuk membuat carian dan mendapatkan bantuan terus melalui arahan suara.
Seperti Siri, pengguna Windows Phone dikatakan boleh menetapkan nama panggilan mereka untuk Cortana, sekaligus menggunakannya dalam interaksi bersama-sama Cortana. Cortana juga dikatakan boleh menyimpan beberapa data untuk disimpan pada Notebook, selain menawarkan beberapa notifikasi untuk pengguna – lebih kurang seperti Google Now.
Setiap data yang dipelajari berkaitan seseorang pengguna itu akan disimpan pada Notebook berkenaan, disamping Cortana turut akan menggunakan data-data tambahan daripada Bing dan juga FourSquare. Untuk makluman, pihak Microsoft telah membuat pelaburan pada FourSquare sebelum ini dalam usaha untuk menggunakan data geolokasinya.
Microsoft dikatakan akan memperkenalkan sokongan Cortana ini seawal bulan hadapan pada acara Build, sekaligus berkongsi lebih lanjut berkaitan Windows Phone 8.1.