Cari @ Amanz

Selain pengumuman berkaitan telefon pintar berspesifikasi tinggi mereka yang terbaru, Xperia Z2, pihak Sony turut berkongsi berkenaan beberapa peranti lain yang turut akan memasuki pasaran Malaysia pada suku kedua 2014 ini.

Pengenalan peranti ini akan dimulakan dengan tablet terbaru daripada Sony, iaitu Sony Xperia Z2 Tablet. Sony membawakan rekaan yang amat nipis dan ringan melalui tablet bersaiz 10.1-inci mereka ini, dan turut dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 801 2.3GHz, memori 3GB RAM, sokongan 4G LTE, sokongan Digital Noise Cancelling, kebolehan Quick Charge dan beberapa yang lain.

Xperia Z2 Tablet

Telefon pintar dengan spesifikasi pertengahan daripada Sony, iaitu Xperia M2 yang turut diperkenalkan pada minggu lepas, bakal turut memasuki pasaran tempatan bermula bulan April 2014 kelak. Xperia M2 – selain menyertakan rekaan ikonik daripada Sony, ia turut merupakan antara telefon nipis dengan sokongan rangkaian 4G, hadir dengan paparan qHD, serta kamera 8-megapixel pada bahagian belakang. Variasi dengan dwi-SIM turut dikatakan akan hadir tidak lama selepas itu.

Xperia M2

Xperia Z1 Compact yang telah diumumkan pada CES 2014 lepas turut dilihat akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. Xperia Z1 Compact boleh dikatakan variasi bersaiz kecil untuk Xperia Z1, dimana menggunakan skrin bersaiz 4.3-inci, selesa untuk penggunaan sebelah tangan. Ia turut hadir dengan fungsi lain menyerupai Xperia Z1 yang telah diperkenalkan sebelum ini – termasuk kamera belakang 20.7-megapixel.

Akhir sekali, pihak Sony turut mengumumkan yang mana phablet dengan spesifikasi pertengahan daripada mereka, Xperia T2 Ultra bakal turut hadir ke pasaran tempatan bermula bulan April kelak – dimana ia hadir menyertakan skrin bersaiz 6-inci serta dilengkapi beberapa fungsi seperti kawalan menggunakan satu tangan, kamera yang dioptimasikan untuk selfie dan beberapa fungsi Sony lain.

Xperia T2 Ultra

Selain telefon pintar dan tablet, pihak Sony Mobile turut mengatakan mereka akan memasarkan SmartBand di rantau Asia Tenggara bermula April 2014 ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd