Gabe Newell Cuba Menangani Kebimbangan Ke Atas Sistem Valve Anti-Cheat

Gabe Newell Cuba Menangani Kebimbangan Ke Atas Sistem Valve Anti-Cheat

Diterbitkan pada Mac 6, 2014 oleh .

Orang ValveKira-kira 2 minggu lepas, arena permainan video atas talian gempar dengan berita mengenai sistem Valve Anti-Cheat (VAC). Berita itu menjadi sensasi kerana ia didakwa mengintip maklumat pada history pelayar web berdasarkan kepada data domain name server (DNS) pengguna Valve. Ia bermula daripada satu entri di laman Reddit Counter-Strike:Global Offensive.

Susulan daripada pendedahan berkenaan, Gabe Newell iaitu CEO Valve tampil membuat kenyataan pada laman Reddit. Secara ringkasnya, Gabe Newell menafikan dakwaan bahawa sejarah pelayar web pengguna Valve dihantar ke pelayan Valve, dan Valve tidak menjual data sejarah pelayar web itu kepada mana-mana pihak.

Gabe Newell juga menyatakan bahawa Valve terpaksa menggunakan teknik mengekstrak data DNS kerana dari semasa ke semasa, teknik dan aplikasi penipuan yang digunakan oleh pemain video atas talian semakin terkehadapan dan kompleks, bahkan ada pengeluar aplikasi penipuan menggunakan sistem pengurusan hak digital (Digital Rights Management, DRM) pada aplikasi mereka. Gabe Newell menambah lagi bahawa sistem pengesanan penipuan VAC memerlukan masa selama 13 hari untuk mengesahkan bahawa pengguna yang berkenaan menggunakan aplikasi penipuan sebelum tindakan susulan diambil seperti menyekat pengguna yang terbabit.

Gabe Newell juga menyatakan bahawa pihak Valve biasanya tidak mengeluarkan sebarang informasi mengenai VAC kerana dikhuatiri ia akan membuka peluang kepada para penggodam untuk menaiktaraf atau memperbaiki aplikasi penipuan mereka.

Gabe Newell menyatakan lagi bahawa pihak Valve bekerja keras bagi memastikan para pengguna sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi kepada mereka.


TIPS & ULASAN