Cari @ Amanz

DSC01620-resize

Nokia X
Pemproses Snapdragon S4 Play MSM8225 1GHz dwi-teras
RAM 512MB
Storan 4GB memori dalaman, microSD sehingga 32GB
Kamera 3.15 MP fixed focus, tiada kamera hadapan
Skrin 4-inci IPS LCD, 233 ppi, 480×800 piksel
Bateri Li-ion 1500 mAh

Nokia X merupakan peranti terkini daripada Nokia yang hadir dengan sistem operasi Android di dalamnya. Peranti ini merupakan salah satu peranti Android daripada Nokia selain Nokia X+ dan Nokia XL yang juga diperkenalkan melalui Mobile World Congress 2014 lepas.

Baru-baru ini, Nokia X dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan dan kita antara negara yang bertuah kerana menjadi negara yang terawal untuk memasarkan Nokia X. Pelbagai reaksi yang diterima mengenai peranti Android daripada Nokia ini dan bersama saya, Arib Ismail akan membawakan sedikit pandang pertama mengenai Nokia X.

Rekabentuk

Nokia X didatangkan dengan rekabentuk ikonik Nokia yang hadir dengan rekaan polikarbonat seperti yang terdapat pada peranti Lumia dan beberapa model Nokia Asha. Secara peribadi saya sukakan rekaan seperti ini kerana merasakan ia sangat selesa dipegang. Penggunaan polikarbonat juga cukup menyakinkan saya mengenai aspek ketahanan pada peranti Nokia X yang saya kira cukup tahan lasak.

Salah satu perkara yang menjadikan peranti Nokia kelihatan unik, Nokia X turut tampil dengan senarai pilihan warna menarik seperti yang ditawarkan Nokia pada peranti sebelumnya. Yang menariknya, anda juga boleh menukar kerangka belakang mengikut pilihan warna anda seperti yang terdapat pada Motorola Moto G. Apa yang saya boleh katakan, Nokia X dengan warna merah: cukup menyerlah dan sangat mengiurkan dari pandangan saya. Untuk pasaran tempatan, Nokia X juga turut hadir dengan variasi warna hijau, hitam, dan putih.

DSC01623-resize

Untuk lubang sambungan pada badan peranti, pada bahagian bawah Nokia X hadir dengan port micro-USB yang bertindak sebagai lubang pengecasan dan sebagai sambungan data. Pada bahagian atas peranti pula hadir dengan lubang earphone jack 3.5mm selain pada sisi telefon yang didatangkan dengan butang pelarasan suara dan butang kuasa padanya.

Skrin pada Nokia X hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 4-inci yang hadir dengan kadar kepadatan piksel (pixel density) sebanyak 233 ppi. Paparan yang ditunjukkan tidaklah begitu cantik, namun bagi saya skrinnya boleh dikatakan agak baik dan mampu memberikan paparan yang memuaskan bagi sebuah peranti bajet.

Perisian

Nokia X menggunakan sistem operasi Nokia X software platform 1.0 yang dibangunkan melalui Android Open Source Project (AOSP), berasaskan Android 4.1.2 Jelly Bean. Dari segi antaramuka, ia membawakan antaramuka Fastlane UI hasil kombinasi Nokia Asha dan Nokia Lumia.

Nokia X_008

Antaramuka Fastlane UI boleh saya katakan menarik kerana ia membuatkan pengalaman menggunakan Android berbeza berbanding peranti Android lain. Pada homescreen, pengguna boleh mengubah saiz tile seperti mana yang hadir pada Windows Phone dan jugak kebolehan menambah widget padanya.

Sekiranya pengguna ingin melancarkan fungsi multitasking dan melihat notifikasi, pengguna hanya perlu membuat swipe sama ada ke sebelah kanan atau ke kiri dan anda akan disajikan dengan paparan recent activity Fastlane UI.

Salah satu potensi yang menjadi keistimewaan peranti menggunakan Android, anda boleh mengubah antaramuka homescreen dengan menggunakan launcher daripada pihak ketiga. Ini boleh dicapai melalui pemasangan aplikasi dari Nokia Store ataupun anda boleh mendapatkan aplikasi dari gedung aplikasi pihak ketiga mengikut kesukaan anda. Apa yang menarik lagi, Nokia X turut membolehkan anda memasang fail APK padanya tanpa sebarang masalah.

Beberapa perkara yang menjadikan Nokia X berbaloi dimiliki berbanding peranti Android lain, ia hadir dengan aplikasi Here Maps yang menawarkan sokongan offline navigation. Sistem pemetaan yang sangat baik dan boleh dipercayai ini bagi saya cukup menjadikan Nokia X berbaloi untuk dimiliki. Bagi penggemar muzik pula, pihak Nokia juga turut menghadirkan aplikasi MixRadio yang membolehkan anda mendengar muzik melalui servis langganan yang ditawarkan.

Kamera

Bercakap mengenai fungsi penggambaran, Nokia X membawakan kamera 3.15-megapiksel pada bahagian belakang dan tidak hadir dengan sebarang kamera hadapan. Apa yang lebih mengecewakan, ia hadir dengan lensa fixed focus yang menyebabkan gambar yang diambil pada jarak dekat tidak dapat difokuskan sepenuhnya.

Satu perkara yang saya puji mengenai kamera Nokia X, ia hadir dengan kawalan yang pelbagai pada fungsi kameranya. Menariknya, ia hadir dengan sokongan Panorama, Face Detection, dan Noise Reduction selain kebolehan mengubah ISO dan hadir dengan kawalan exposure padanya. Fungsi-fungsi kamera seperti ini cukup mengujakan saya bagi sesebuah peranti bajet.

DSC01621-resize

Mengenai rakaman video pula, Nokia X tidak hadir dengan kebolehan rakaman video HD dan hanya menawarkan rakaman video pada resolusi 480p. Namun, jurucakap Nokia ada mengatakan sokongan memainkan video HD boleh dicapai apabila pengguna memasang aplikasi pihak ketiga seperti aplikasi MX Video Player.

Prestasi

Nokia X_019

Ramai pihak yang bertanyakan mengenai prestasi Nokia X kerana ingin melihat sejauh manakah prestasi peranti dengan RAM sebanyak 512MB RAM ini. Pada percubaan saya, bermain dengan keseluruhan antaramuka Fastlane UI agak pantas dan saya katakan ini banyak dibantu melalui pemprosesan Snapdragon S4 Play 1GHz dwi-teras padanya.

Cuma apabila melancarkan aplikasi dilihat sedikit lambat dan tidak sepantas yang saya harapkan. Setiap pembukaan aplikasi saya boleh katakan mengambil masa lebih kurang sekitar 2-4 saat sebelum paparan splash screen muncul ketika memulakan aplikasi.

Buat masa ini saya tidak sempat untuk membuat sebarang ujian mengenai prestasi permainan atas kekurangan masa yang diberikan ketika menguji peranti ini. Mungkin saya bakal mengulas dengan lebih mendalam pada ulasan penuh kelak apabila dapat menggunakan peranti ini dengan lebih lama lagi.

Keseluruhan

Daripada pengamatan saya sendiri, saya boleh katakan Nokia X merupakan peranti yang berbaloi untuk dimiliki sekiranya anda mempunyai bajet di bawah lingkungan RM400. Ia berbaloi kerana hadir dengan rekabentuk tahan lasak, sokongan Here Maps dengan offline navigation, dan sokongan daripada komuniti Nokia yang ramai memungkinkan banyak potensi bakal dilakukan pada Nokia X.

Sungguhpun begitu, beberapa kekurangan yang agak mengecewakan saya adalah kehadiran memori sebanyak 512MB RAM yang menjadikan kelancaran ketika melancarkan aplikasi sedikit lambat. Kameranya yang tidak didatangkan dengan sebarang fungsi auto fokus turut menyumbang kepada kekurangan peranti ini.

DSC01609-resize

Namun, dengan komuniti Nokia yang agak ramai, saya melihat Nokia X ada potensi untuk dibuat sesuatu padanya seperti kebolehan memasang custom ROM pada akan datang. Salah satu perkara saya tidak menggemari peranti Lenovo murah adalah bilangan komunitinya yang kurang, menjadikan peranti jenama dari China ini tidak memberi kepuasan kepada kaki kustomasi Android. Pada saat artikel ini ditulis, Nokia X sudah mempunyai ruangan forum tersendiri di forum XDA-Developers dan ini memberi peluang lebih banyak kustomasi bakal hadir seperti memasang custom ROM CyanogenMod pada peranti Android daripada Nokia ini.

Nokia X telah mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM399 dan bagi yang bertanyakan mengenai kehadiran Nokia X+ dan Nokia XL, kedua-kedua peranti ini akan hadir pada suku kedua tahun ini. Saya menjangkakan, Nokia X+ bakal ditawarkan dengan harga RM449 dan Nokia XL pula bakal membawakan harga RM499 di pasaran tempatan. Seperti biasa, pihak Amanz akan membawakan ulasan mengenai peranti-peranti ini apabila ia tiba di pasaran kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd