Sebulan Lagi Sebelum Sokongan Untuk Windows XP Ditamatkan

Sebulan Lagi Sebelum Sokongan Untuk Windows XP Ditamatkan

Diterbitkan pada Mac 8, 2014 oleh .

Microsoft sebelum ini telah sedia mengumumkan mereka akan menamatkan sokongan untuk Windows XP pada 8 April 2014 kelak, dan kini hanya tinggal sebulan lagi sebelum sokongan untuk sistem operasi yang diperkenalkan pada tahun 2001 tersebut dihentikan pihak Microsoft.

Windows XP

Menurut Microsoft, menggunakan sistem operasi yang lama akan membuatkan pengguna masih terdedah dengan pelbagai masalah sekuriti dan keselamatan – memandangkan pihak Microsoft tidak akan mengeluarkan patch untuknya lagi.

Melalui data yang dikongsikan Microsoft Malaysia – menggunakan angka daripada StatCounter dan IDC, Windows XP dikatakan digunakan pada lebih kurang 14.4% PC di Malaysia, yang mana membawa kepada jumlah sekitar 2.5 juta PC.

Windows XP merupakan salah satu sistem operasi popular dan masih selesa digunakan ramai memandangkan fungsi yang ditawarkannya. Malah, kebanyakkan mesin ATM di Malaysia turut menggunakan sistem operasi berasaskan kepadanya.

Bertanyakan mengenainya, pihak Microsoft Malaysia mengatakan peranti yang menjalankan Windows XP Embedded akan disokong sehingga 12 Januari 2016 kelak, dan mereka sedang bekerjasama dengan pelanggan mereka dalam memudahkan transasi ke sistem operasi baru.

Untuk pengguna umum, pihak Microsoft turut menyediakan salah satu perisian percuma – dinamakan PCmover Express yang membolehkan pengguna memindahkan data daripada komputer Windows XP mereka kepada versi Windows baru dengan mudah dan pantas.

Bersama-sama Windows XP, sokongan untuk Office 2003 juga turut akan ditamatkan pada tarikh yang sama.


TIPS & ULASAN