Pandang Pertama : Lenovo Vibe Z

Pandang Pertama : Lenovo Vibe Z

Diterbitkan pada Mac 12, 2014 oleh .

Lenovo Vibe Z
Pemproses 2.2Ghz Snapdragon 800
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB
Kamera 13 MP utama / 5 MP hadapan
Skrin 5.5″ IPS HD Penuh
Bateri 3000 mAh

Pada awal hari ini, Lenovo Malaysia telah memperkenalkan telefon pintar terbaru daripada mereka dengan sokongan spesifikasi tinggi, dinamakan sebagai Lenovo Vibe Z untuk pasaran tempatan. Peranti ini menjadi salah satu fokus utama Lenovo memandangkan ia merupakan telefon pintar dengan sokongan LTE daripada mereka.

Rekabentuk

Lenovo Vibe Z membawakan rekaan dan binaan badan yang tidak boleh dibuka ruang baterinya. Menurut Lenovo perkara ini membolehkan mereka mengekalkan rekaan peranti yang nipis berbanding sekiranya mereka membolehkan pengguna untuk membuka ruangan bateri tersebut.

Disamping itu, pada bahagian belakang, ia membawakan rekaan polikarbonat yang sedikit berbeza dan dilihat amat selesa apabila dipegang dan digunakan di tangan.

Kedudukan butang kawalan audio dilihat diletakkan di bahagian kiri peranti, dan butang kuasa di bahagian atas peranti – dimana kedua-duanya dilihat agak janggal untuk kami, terutamanya agak sukar untuk mencapai butang kuasa apabila digunakan pada hanya sebelah tangan.

Dari segi skrin, ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan HD penuh. Ia membawakan skrin yang amat terang berbanding beberapa peranti Lenovo yang lain.

Secara keseluruhan, walaupun ia membawakan rekaan yang menarik, namun kami masih tertarik kepada rekaan Lenovo K900 sebelum ini berbanding peranti ini – dari perspektif mata.

Antaramuka

Lenovo Vibe Z dilengkapi dengan Android 4.3 Jelly Bean, serta pihak Lenovo menggunakan antaramuka mereka tersendiri pada peranti berkenaan.

Beberapa pilihan tema disediakan untuk membolehkan pengguna memilih apa yang digemari mereka.

Berbeza dengan beberapa telefon pintar Android, pihak Lenovo turut dilihat tidak menyertakan bahagian aplikasi khusus mereka, sebaliknya memperlihatkan aplikasi pada skrin utama sahaja – lebih kurang seperti peranti Huawei, ataupun lebih kurang menyerupai susunan di iPhone. Namun, pengguna masih dapat menambah bilangan homescreen mereka, disamping menambah widget dan sebagainya.

Pihak Lenovo juga turut menambah beberapa fungsi tambahan, termasuk beberapa perkara berkaitan dengan gesture. Pengguna boleh mengaktifkan beberapa fungsi seperti goncangkan peranti untuk lock, Pocket Mode untuk bunyi yang lebih kuat, sokongan multi-windows, dan beberapa yang lain.

Lenovo Vibe Z

Lenovo Vibe Z

Lenovo Vibe Z

Kamera

Lenovo Vibe Z menyertakan kamera 13-megapixel pada bahagian belakang dengan sokongan auto-fokus dan pilihan beberapa filter pada aplikasi kamera mereka. Disamping itu, ia turut menyertakan dwi-LED pada bahagian belakang untuk menawarkan pencahayaan yang lebih terang berbanding kebiasaan.

Menariknya, selain kamera belakang dengan sensor besar, pihak Lenovo turut menyertakan sensor 5-megapixel pada bahagian hadapan. Pihak Lenovo mengatakan ia menawarkan sokongan rakaman selfie pada kualiti lebih baik menggunakannya – salah satu fenomena yang popular akhir-akhir ini.

Lenovo Vibe Z

Keseluruhan

Kami hanya sekadar dapat menggunakan peranti ini untuk beberapa minit sahaja, dan secara kasarnya ia berfungsi tanpa sebarang masalah. Terdapat beberapa fungsi yang kami lihat mengalami sedikit lengah masa ketika menggunakannya, dan mungkin kami tidak boleh memberikan komen keseluruhan mengenainya tanpa mencubanya secara penuh.

Bilangan aplikasi yang hadir daripada Lenovo pada peranti ini juga agak banyak, dimana kami kurang pasti adakah semuanya berguna ataupun sebaliknya.

Satu lagi kekurangan yang kami lihat adalah ketiadaan sokongan kad mikro-SD pada peranti ini, yang akan menyukarkan pengguna untuk menambah ruangan storan dan sebagainya.

Apa pun, sekiranya anda meminati Lenovo, dan inginkan sebuah peranti dengan sokongan rangkaian LTE dan pelbagai spesifikasi terkini termasuk fungsi-fungsi tambahan daripada Lenovo, mungkin ini adalah peranti untuk anda. Lenovo Vibe Z dijual di Malaysia pada harga RM1799.


TIPS & ULASAN