Ubuntu Akan Beralih Sepenuhnya Kepada Systemd Bermula Versi 16.04 LTS

Ubuntu Akan Beralih Sepenuhnya Kepada Systemd Bermula Versi 16.04 LTS

Diterbitkan pada Mac 16, 2014 oleh .

UbuntuLanjutan daripada pengumuman yang dilakukan oleh Mark Shuttleworth pada bulan lepas, pasukan pembangun Ubuntu memberikan kata putus bahawa pengurus proses systemd akan disertakan secara default bermula dengan Ubuntu versi 16.04 LTS yang dijangka akan dilancarkan kepada umum pada bulan April 2016 nanti.

Pengumuman itu dibuat melalui kata sepakat dalam perjumpaan maya antara pembangun-pembangun Ubuntu di Ubuntu Developer Summit yang telah diadakan pada 11 Mac yang lalu. Antara perkara lain yang turut dibincangkan bersama ialah bagaimanakah migrasi daripada Upstart kepada systemd perlu dilakukan tanpa memberikan sebarang masalah yang serius kepada pengguna.

Keputusan pasukan pembangun Ubuntu yang mahu beralih daripada Upstart kepada systemd merupakan antara berita yang mengejutkan pada tahun ini dalam dunia perkomputeran sumber terbuka kerana pasukan pembangun Ubuntu sanggup meninggalkan projek Upstart, iaitu projek milik mereka sendiri. Migrasi kepada systemd dilihat semakin hari semakin popular, terutama sekali selepas sistem operasi popular Arch Linux beralih kepada systemd, diikuti oleh Debian.

Turut diumumkan dalam Ubuntu Developer Summit tersebut ialah Ubuntu bakal beralih sepenuhnya daripada pelayan paparan (display server) X.org kepada Mir juga pada versi 16.04 LTS, yang mana membolehkan pasukan pembangun Ubuntu membangunkan persekitaran desktop Unity kepada versi yang lebih terkehadapan.


TIPS & ULASAN