Cari @ Amanz

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Valve dilihat begitu aktif dalam mengembangkan sokongan untuk pelbagai platform bagi permainan video mereka. Pelbagai permainan video yang dihasilkan dan diterbitkan oleh Valve sendiri telah melalui proses peralihan kod untuk membolehkan permainan video berkenaan boleh dimainkan pada platform OS X dan Linux.

Terbaru, pihak Valve telah melepaskan kod penterjemahan (code translator) Direct3D kepada OpenGL yang diberikan nama “ToGL” dibawah lesen sumber terbuka pada laman GitHub, membolehkan para pembangun menggunakannya pada permainan video masing-masing.

Secara ringkasnya permainan video yang dihasilkan untuk platform Windows kebanyakannya menggunakan enjin grafik Direct3D untuk menghasilkan paparan grafik 3-dimensi, namun Direct3D hanya terdapat pada platform sistem operasi Windows sahaja. Bagi membolehkan permainan video untuk menghasilkan paparan 3-dimensi pada sistem operasi OS X dan Linux, permainan video berkenaan perlu menggunakan enjin grafik OpenGL. Melalui kod penterjemahan ToGL ini, pembangun permainan video boleh melakukan pemindahan kod untuk membolehkan permainan video mereka yang dihasilkan untuk platform Windows boleh dijalankan pada platform OS X dan Linux.

Pihak Valve tidak menyatakan secara spesifik kenapakah mereka melepaskan kod penterjemah ini kepada umum. Namun jika dilihat aktiviti Valve kebelakangan ini terumata sekali merujuk kepada SteamOS yang dibina berasaskan Linux, ia merupakan satu usaha daripada pihak Valve untuk memastikan lebih banyak permainan video dihasilkan untuk platform tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd