Selepas pengenalan rasmi Galaxy S5 pada MWC 2014 lepas, Samsung dilihat terus menghadirkan beberapa siri lanjutannya dan salah satunya Galaxy S5 Zoom yang mana spesifikasinya kini tertiris di arena web.
Dikongsikan melalui pangkalan data GFXBench, Galaxy S5 Zoom kelak bakal membawakan kamera 19-megapiksel padanya disamping turut menyertakan kamera hadapan 2-megapiksel untuk fungsi penggambaran diri (selfie). Walau bagaimanapun, kedua-dua bahagian kamera Galaxy S5 Zoom ini dikatakan hanya hadir dengan kebolehan rakaman video 1080p Full HD dan tidak menyertakan rakaman video 4K.
Beberapa fungsi lain turut dikongsikan seperti saiz skrin S5 Zoom yang bakal didatangkan dengan skrin sebesar 4.8-inci 720p selain membawakan pemprosesan Samsung Exynos 5 enam-teras. Ia dikatakan turut hadir dengan memori sebesar 2GB RAM, 16GB muatan dalaman, dan bakal menjalankan Android 4.4.2 KitKat.
Samsung Galaxy S5 Zoom turut menyertakan sokongan NFC yang membolehkan perkongsian mudah dibuat padanya dan sama seperti generasi Galaxy Zoom yang sebelumnya, Galaxy S5 Zoom turut menyokong kad sim selular untuk kebolehan panggilan dan data. Namun, tarikh pengumuman rasmi mengenai Galaxy S5 Zoom masih tidak diketahui buat masa ini.