iPhone 6 Dilaporkan Bakal Hadir Dengan Pengesan Suhu, Tekanan & Kelembapan

iPhone 6 Dilaporkan Bakal Hadir Dengan Pengesan Suhu, Tekanan & Kelembapan

Diterbitkan pada Mac 17, 2014 oleh .

Nampaknya hari demi hari semakin banyak maklumat mengenai iPhone 6 diketahui dan terkini, beberapa laporan mengenai fungsi terbaru iPhone generasi baru ini tertiris ke arena web.

Menurut maklumat yang didedahkan, iPhone 6 kelak bakal membawakan tiga pengesan secara terbina iaitu pengesan suhu, tekanan, dan kelembapan (humidity) bagi membolehkan bacaan ketiga-tiga elemen ini diambil dengan lebih tepat apabila pengguna berada di sesuatu kawasan.

Turut tidak ketinggalan beberapa maklumat yang tertiris sebelum ini juga melaporkan iPhone 6 bakal hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu sebesar 4.7-inci selain dikatakan Apple bakal menyertakan skrin Ultra Retina padanya.

iPhone 6

Beberapa laporan lain turut memaklumkan yang mana Apple bakal meneruskan penggunaan kamera 8-megapiksel dengan mendatangkan sensor yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya selain memperkenalkan beberapa fungsi baru yang bakal disertakan bersama-sama sistem operasi iOS 8.

iPhone 6 dijangka bakal diperlihatkan kepada umum pada September tahun ini dan bakal hadir untuk pasaran tempatan menjelang November-Disember kelak.


TIPS & ULASAN