Cari @ Amanz

Dengan ramai pengeluar peranti yang hadir dengan gelang tangan dan juga jam tangan pintar mereka tersendiri, pihak Oppo turut tidak ingin ketinggalan dan memperkenalkan Oppo O-Band – bersama-sama dengan pengumuman Oppo Find 7.

Oppo O-Band

Oppo O-Band dilihat membawakan rekaan lebih kurang menyerupai beberapa gelang tangan yang telah diperkenalkan sebelum ini, dan membolehkan ia dihubungkan dengan peranti Oppo melalui penggunaan suatu aplikasi khusus.

Ia tidak dapat dipastikan sama ada Oppo O-Band akan menyokong peranti selain peranti Oppo ataupun sebaliknya. Daripada apa yang dilihat, Oppo hanya menawarkan aplikasi O-Band mereka dalam versi bahasa Cina (Mandarin) sahaja buat masa ini, dan tiada pilihan versi Inggeris. Pihak Oppo sendiri tidak memberikan sebarang tarikh berkenaan bilakah ia akan ditawarkan untuk pasaran global.

Untuk tujuan pengecasan pula, ia memerlukan pengguna menggunakan sebuah dock khas.

Oppo O-Band

Dari segi penggunaan, apabila pengguna menekan butang pada bahagian depan O-Band, ia memaparkan masa semasa. Pengguna turut boleh menggunakan butang tersebut untuk membuat beberapa perkara yang dibawakan oleh O-Click, seperti menjadikannya butang merakamkan gambar, ataupun menggunakannya dalam membuatkan peranti anda mengeluarkan bunyi – sesuai sekiranya anda tersilap letak peranti atau tidak menemui peranti anda.

Selain fungsi-fungsi tersebut, pihak Oppo turut menambah sokongan kecergasan melalui sensor terbina O-Band. Pengguna boleh menggunakannya bersama-sama aplikasi O-Band untuk melihat data seperti langkah yang telah dilalui, termasuk corak tidur anda.

Bagi anda yang aktif bersukan dan ingin melihat data seperti corak tidur dan sebagainya, mungkin peranti ini akan menarik minat anda.

Ia tidak diketahui lagi berapakah harga tawaran Oppo O-Band ini, dan bilakah ia akan memasuki pasaran global.

[amanz-gallery]

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd