Google Mempercepatkan Pembangunan Format Gambar Baru WebP

Google Mempercepatkan Pembangunan Format Gambar Baru WebP

Diterbitkan pada Mac 22, 2014 oleh .

Google LogoSehingga kini, format gambar seperti JPG, PNG, dan GIF popular dikalangan pengguna dan pembangun laman web. JPG digemari ramai kerana fungsi mampatannya yang mampu mengurangkan saiz gambar tanpa penalti kualiti yang ekstrim ke atas gambar tersebut (lossy compression), PNG popular kerana fungsi ketelusan alfa (alpha transparency), dan GIF pula terkenal dengan fungsi animasi.

Google memperkenalkan satu format gambar terbaru yang diberi nama WebP (sebutan: weppy), menggabungkan ketiga-tiga fungsi iaitu mampatan, ketelusan alfa, dan animasi dalam satu format sahaja. Format WebP itu tersebut diperkatakan bahawa lebih kecil saiznya, maka ia boleh dimuatkan dengan lebih laju pada pelayar web.

Menurut halaman blog Chromium, pasukan pembangun Google sedang melakukan perubahan dengan menggantikan gambar-gambar daripada format PNG kepada format WebP, dengan menyatakan bahawa mereka mampu menjimatkan saiz bagi gambar-gambar sehingga 35%. Pasukan pembangun juga sedang melakukan perubahan pada YouTube dengan mula menukarkan thumbnail kepada format WebP dengan indikasi prestasi menunjukkan sebanyak 10% peningkatan dari aspek masa untuk memuat.

Menurut dari perspektif pelayan, penggunaan WebP ini mampu menjimatkan sehingga 10 terabytes pemindahan/penghataran data setiap hari. Jika dilihat dari pengguna pula, ini dapat menjimatkan penggunaan data. Secara kasarnya, WebP mampu menjadikan laman web lebih kecil dan pantas, dan menjadikan laman web perkongsian gambar popular seperti Instagram, Flickr, Tumblr, 9gag, dan Imgur mampu dimuatkan dengan lebih laju.

Format WebP sudahpun disokong oleh pelayar web Google Chrome versi terkini, dan sedang diperkatakan bahawa pihak Google sedang cuba memujuk pelayar-pelayar web yang lain untuk menerima pakai WebP pada pelayar mereka.

Untuk mengenali WebP dengan lebih dekat lagi, para pembaca boleh merujuk laman web di bawah untuk melihat sendiri prestasi format gambar terbaru yang dibangunkan oleh Google ini.

Rujuk: Perbandingan Gambar JPG dan WebP


TIPS & ULASAN