Pandang Pertama Samsung Galaxy Camera 2

Pandang Pertama Samsung Galaxy Camera 2

Diterbitkan pada Mac 24, 2014 oleh .
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=3SYJQ0EAxlw]

 

Samsung Galaxy Camera 2 ialah iterasi terkini Galaxy Camera yang memasuki pasaran tahun lalu. Kamera berasaskan Android ini menerima sambutan yang hangat dari pengguna yang sudah bertahun mahukan sebuah kamera yang membolehkan anda memuat naik gambar terus ke media sosial. Untuk versi kedua beberapa pembaharuan diberikan oleh Samsung. Paling ketara ialah rekabentuk yang lebih premium dan rekaan yang lebih kompak.

Samsung Galaxy Camera 2
Pemproses 1.6 GHz Empat Teras
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera 16.3 Megapixel
Skrin 4.8″ LCD IPS 720P
Bateri 2000 mAh

Kemasan yang dahulunya agak plastik kini digantikan dengan kemasan seakan kulit. Kemasan seperti kulit ini nampaknya digunakan secara menyeluruh oleh Samsung pada kesemua produk yang dihasilkan oleh mereka sejak diperkenalkan pada Galaxy Note 3 tahun lalu.

Dari segi binaan ia mempunyai kemasan logam pada bahagian atas dan bawah yang membuatkan ia kelihatan seperti sebuah peranti premium. Pada bahagian atas terdapat butang kuasa, flash , butang kawalan zoom serta pengatup kamera. Slot MikroUSB dan jack fon kepala pula terletak pada bahagian kanan. Pada sebelah kiri terdapat sensor NFC manakala pada bahagian bawah terdapat port untuk HDMI. Slot MikroSD terletak di dalam ruang bateri dan Galaxy Camera 2 menyokong penambahan memori dalaman sehingga 64 Gigabyte.

Jika dibandingkan dengan spesifikasi Samsung Galaxy Camera asal perubahan hanya dilihat pada pemproses yang dinaikkan dari 1.4 ke 1.6 GHz empat teras . RAM digandakan kepada 2 GB berbanding hanya 1 GB sebelumnya. Saiz Megapixel kamera masih sama dan begitu saiz paparan LCD serta resolusinya. Penambahbaikan juga dilakukan pada kapasiti bateri yang kini sebesar 2000 mAh berbanding 1650 mAh

Rekaan yang lebih nipis dan kemas ini bukan hanya sekadar estetik. Galaxy Camera 2 memang selesa dipegang dan permukaan kulit palsunya memberikan tekstur kasar bagi memudahkan anda menggenggam kamera ketika digunakan.

 

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaSamsung Galaxy Camera 2 masih menggunakan binaan Touchwiz yang lama dan bukannya yang kami lihat pada Galaxy S 5 dan Galaxy Note Pro 12.2 . Ketiadaan butang fizikal pada kamera pintar ini memaksa Samsung menambah butang paparan skrin yang diletakkan pada bahagian kanan skrin. Butang multi tasking tidak disertakan sebaliknya butang menu masih digunakan. Ini bermakna anda perlu menekan butang Home untuk beberapa saat bagi mengakses skrin multi tasking peranti ini. Seperti Galaxy Camera asal pada skrin utama butang untuk melancarkan kamera sentiasa dipaparkan pada bahagian bawah sebelah kiri skrin. Butang talam aplikasi pula terletak pada bahagian bawah sebelah kanan skrin.

Terdapat widget khas yang diberi nama Camera Studio yang membolehkan anda meletakkan aplikasi kegemaran anda di dalamnya. Ini memudahkan anda melancarkan aplikasi kegemaran tanpa memasuki talam aplikasi.

Perubahan yang kami lihat pada Touchwiz Galaxy Camera 2 ialah tiada sokongan Multi Window ataupun My Magazine. Mungkin Samsung merasakan dua fungsi ini tidak diperlukan oleh pengguna sebuah kamera pintar.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

 

Kamera

Fungsi utama Galaxy Camera ialah sebagai sebuah kamera dan kekurangan fungsi seperti multi window dan My Magazine diimbangi dengan fungsi baru pada mod kamera.

Kini terdapat 28 pratetapan yang boleh anda pilih bagi memudahkan penggambilan gambar mengikut situasi berbeza. Ini adalah jauh lebih banyak dari hanya 15 pratetapan pada Galaxy Camera 1. Pratetapan ini juga kini disenaraikan di dalam kategori  berasingan iaitu mod potret, pemandangan, gambar jarak dekat, mod malam dan mod profesional. Bagi memudahkan anda memilih setiap pratetapan disertakan dengan penerangan pendek bagaimana ianya boleh digunakan oleh anda.  Antara pratetapan baru yang kami sedari ialah Selfie Alam, Colour Bracket, Kids Shot dan Interval.

Yang menarik perhatian kami ialah fungsi Interval yang membolehkan anda menetapkan Galaxy Camera 2 mengambil gambar setiap beberapa minit/saat dan jumlah gambar yang akan diambil. Ini membolehkan anda mengambil gama sela masa tanpa perlu menekan pengatup kamera secara manual. Ini adalah fungsi yang kami rasakan sangat menarik.

Bagi mereka yang mahukan kawalan manual, Galaxy Camera 2 mempunyai pelbagai tetapan yang boleh digodek oleh pengguna mengikut kehendak mereka. Antaramuka kawalan manual yang diperkenalkan pada Galaxy Camera dikekalkan dan mudah digunakan.

Remote Viewfinder

Remote Viewfinder ialah sebuah fungsi baru yang diperkenalkan Samsung. Pada Sony QX100 anda boleh menggunakan peranti Android anda sebagai viewfinder kepada lensa pintar Sony. Fungsi Remote Viewfinder Galaxy Camera 2 berfungsi dengan prinsip yang sama. Anda boleh mengawal Galaxy Camera 2 secara terus dari mana-mana peranti berkuasa Android dan IOS milik anda. Ini dilakukan dengan memuat turun aplikasi khas dari Google Play dan Apple App Store.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang sempat kami ambil menggunakan Galaxy Camera 2 setakat ini. Kesemua gambar diambil menggunakan mod automatik.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Camera 2 ialah model terkini Galaxy Camera yang merupakan kamera yang menggunakan sistem operasi Android yang popular. Dari segi kemasan dan kualiti binaan Galaxy Camera 2 kelihatan jauh lebih baik dari model tahun lalu. Beberapa penambahbaikan dilakukan pada pemproses. RAM dan kapasiti bateri. Fungsi kamera juga ditambah dengan beberapa lagi pratetapan baru seperti Colour Bracket dan Interval yang mempermudahkan penggunaan kamera. Di samping itu Galaxy Camera 2 kini menyokong penggunaan sistem NFC.

Dari segi antaramuka ia banyak mengekalkan elemen kamera asal. Tiada sokongan multi tasking ataupun My Magazine pada kamera pintar ini. Seperti Galaxy Camera asal ianya masih tidak menyokong sebarang fungsi telefoni.

Tiada penambahbaikan dari segi saiz sensor kamera ataupun kemampuan zoom optikalnya. Ini adalah sedikit mengecewakan kerana kami mahu sekurang-kurangnya sensor kamera yang lebih besar. Ianya juga hanya mengambil video pada resolusi 1080P dan bukannya 4K seperti Note 3. Dengan kemampuan lensa yang lebih baik serta zoom optikal kami merasakan fungsi video 4K pada Galaxy Camera 2 akan membuatkan kamera pintar ini mampu mengambil video lebih berkualiti dari Note 3.

Buat masa ini kami mendapati kualiti gambar Galaxy Camera 2 adalah baik. Tetapi untuk ujian sepenuhnya kami akan membezakan kualiti gambar diambil peranti ini dengam kamera digital yang biasa kami gunakan untuk tugasan harian. Nantikan ulasan penuh dalam masa beberapa minggu dari sekarang.

PRO dan Kelebihan
  • Buatan yang lebih nipis dengan kemasan lebih berkualiti berbanding Galaxy Camera Asal. Kemasan seakan kulit membuatkan Galaxy Camera 2 kelihatan sangat premium.
  • Penambahan beberapa pratetapan baru yang memudahkan penggunaan kamera.
  • Mempunyai sokongan NFC bagi mempercepatkan proses pemindahan gambar ke peranti dengan kemampuan yang sama
  • Fungsi Remote Viewfinder membolehkan anda mengawal kamera menggunakan telefon pintar Android ataupun IOS anda.
KONTRA dan Kekurangan
  • Saiz sensor dan kemampuan zoom yang sama dengan Galaxy Camera asal. Tiada perubahan kemampuan yang ketara.
  • Kapasiti bateri yang kecil. Hanya 2000 mAh.

Samsung Galaxy Camera 2 dijual pada harga RM 1699

 

TIPS & ULASAN