HTC One pada hemat kami adalah peranti terbaik sepanjang 2013. Dari segi fungsi, kelancaran penggunaan serta kualiti binaan tidak ada peranti di pasaran yang mampu menyainginya. Apabila berita HTC bakal menghasilkan model terbaru One kami sangat teruja dengan apa yang bakal diberikan kepada One baharu. Khamis lalu kami diberikan akses awal kepada HTC One baharu dengan nama rasminya HTC One M8. Hari ini kami akan membincangkan apa yang kami gemar dan kurang gemar tentang iterasi terkini peranti pintar utama dari HTC ini.
HTC One M8 | |
---|---|
Pemproses | 2.5 GHz Empat Teras Snapdragon 801 |
RAM | 2 GB |
Muatan Dalaman | 16/32 GB dengan sokongan kad MikroSD |
Kamera Utama | 4 Megapixel Dengan Teknologi Ultrapixel |
Kamera Hadapan | 5 Megapixel lensa bersudut lebar |
Skrin | 5″ LCD 3 1080P |
Bateri | 2600 mAh |
Dari segi rekaan rekaan tubuh HTC One M8 lebih melengkung berbanding One. Bahagian bucu dan belakang yang lebih melengkung membuatkan ianya lebih selesa dipegang. Kemasan One M8 juga tampak lebih premium dan tegap. Panel belakang M8 berkilat dan tidak lagi legap seperti model tahun lalu. Dua perkara yang anda paling ketara selain dari bentuk yang lebih melengkung One M8 ialah rekaan kamera yang berlainan serta penggunaan butang pada skrin dan bukan lagi dari jenis kapasitif.
Harus diakui antara perkara yang kurang menarik mengenai One ialah ketiadaan butang multi tasking. Keperluan menekan butang home sebanyak dua kali untuk mengakses skrin multi tasking adalah kurang mesra pengguna. Ini ditambah lagi dengan posisi butang kapasitif home pada bahagian bawah kanan dan bukan di tengah-tengah seperti majoriti peranti di pasaran. Kini butang on screen home terletak pada bahagian tengah dan diapit oleh butang multi tasking pada bahagian kanan dan back pada bahagian kiri.
Butang kuasa yang juga merangkap pemancar infra merah kini terletak pada bahagian atas sebelah kanan dan bukannya kanan sebelah kiri. Butang suara pada bahagian kanan dan di sini juga diletakkan slot kad MikroSD. Kali ini HTC One M8 menyokong penambahan memori dalaman yang merupakan antara fungsi yang paling dikehendaki oleh pengguna HTC sejak bertahun lamanya. Kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong oleh One M8. Pada bahagian kiri terapat slot untuk NanoSIM dan pada bahagian bawah terdapat port MikroUSB dan juga jack fon kepala.
[amanz-gallery]
Sense 6.0
HTC One M8 menggunakan antaramuka terkini iaitu Sense 6.0 beserta Android 4.4.2 . Seperti yang kami katakan pada awal tadi, kali ini kesemua butang kawalan dipaparkan pada skrin dan bukannya butang kapasitif. Maka bahagian bawah skrin di dominasi 3 butang kawalan back, home dan multi tasking. Sekilas pandang tidak ketara perbezaan di antara Sense 5.5 dan 6.0. Palang hitam di belakang 5 pintasan pantas yang boleh anda letakkan di bawah skrin kini tidak lagi kelihatan.
Apabila memasuki skrin tetapan barulah kami menyedari beberapa perubahan yang lebih ketara. Pertama sekali rekaan ikon semakin minimalis dan tidak lagi berwarna terang seperti Sense 5.5. Bercakap tentang warna HTC meletakkan warna beza pada antaramuka bagi memudahkan pengguna mengetahui apakah yang sedang diakses oleh mereka. Sebagai contoh warna hijau ialah skrin Blinkfeed, biru untuk skrin aplikasi hiburan dan oren untuk skrin galeri. Anda boleh lihat beberapa contoh penggunaan warna berdasarkan aplikasi yang diakses di bawah.
Sense 6.0 juga akhirnya membenarkan anda melalukan kustomasi muka taip. Sebelum ini setahu kami hanya beberapa pengeluar sahaja seperti Samsung dan Oppo membenarkan pengguna mengubah muka taip sistem dengan mudah. Jadi kepada mereka penggemar Helvetica, kini anda boleh menggunakan muka taip popular ini pada peranti HTC One M8 anda!
Pembaharuan juga dilakukan pada skrin multi tasking di nana akhirnya anda boleh mematikan kesemua aplikasi yang telah dilancarkan menekan sebuah butang pada bahagian atas sebelah kanan. Kami masih kurang menggemari lokasi butang kuasa pada bahagian atas kerana ianya sukar untuk diakses. Pada HTC One Max lokasi butang kuasa pada bahagian kanan di bawah butang suara pada hemat kami adalah lebih mesra pengguna. Namun anda tidak perlu risau kerana pada Sense 6.0 HTC memperkenalkan sistem Motion Lauch yang membuatkan akses kepada butang kuasa tidak lagi perlu untuk menggunakan peranti dengan sempurna.
BlinkFeed Baharu
BlinkFeed juga diberikan beberapa fungsi baharu diberi nama hub. Dari hub ini anda boleh mencari pautan ke berita dari laman web, Twitter, Facebook dan sebagainya untuk topik-topik tertentu. Misalnya jika anda melakukan carian MH370 pada BlinkFeed, ia akan megumpul kesemua berita berkaitan MH370 dari sumber-sumber yang kami katakan tadi terus kedalam hab khas MH370.
Motion Launch
Motion Launch berfungsi seakan tap to wake yang ada pada Nexus 5 dan Oppo N1. HTC melakukan penambahan di mana dengan melakukan gerakan jari (gesture) anda boleh melakukan beberapa pintasan ke atas beberapa fungsi penting. Menekan skrin sebanyak dua kali akan menghidupkan skrin secara automatik. Menggerakkan jari dari kiri ke kanan ketika skrin dimatikan akan membuka terus skrin Blinkfeed. Pergerakan jari kanan ke kiri ketika skrin dimatikan pula akan membawa anda terus ke skrin utama tanpa anda perlu melakukan nyahkunci. Jika pergerakan bawah ke atas dilakukan pula anda akan dibawa terus ke aplikasi terakhir anda gunakan sebelum skrin ditutup dan akhir sekali bawah ke atas pula melancarkan sistem kawalan suara Google Now.
HTC Dot View Cover
Pada asalnya kami menyangka HTC One M8 akan mempunyai penutup pintar LED terbina seperti Alcatel One Touch Hero. Rupa-rupanya penutup yang diberi nama HTC Dot View Cover ini menggunakan prinsip berbeza dan lebih low tech. Pentutup bahagian hadapan Dot View diperbuat daripada getah dan mempunyai ratusan lubang yang ditebuk. Apabila anda melakukan pergerakan jari seperti menekan skrin sebanyak dua kali skrin peranti akan memaparkan informasi menembusi lubang-lubang ini. Ianya bukan penutup magnetik dan tidak memerlukan kuasa untuk digunakan. Ini bermakna apabila ditutup ianya tidak melekap secara terus dan agak tergantung. Ini mungkin akan menjengkelkan sebahagian pengguna. Yang menarik tentang Dot View ini ialah anda boleh menjawab telefon seperti biasa tanpa penutup dibuka terlebih dahulu. Hanya gerakkan jari pada ikon mengangkat telefon yang terpapar pada hadapan penutup dan anda boleh menjawab telefon seperti biasa.
Kamera
Beberapa berita tertiris mengatakan HTC One M8 dilengkapi dengan sepasang kamera. Ini adalah kurang tepat kerana sebenarnya “kamera” pada bahagian atas kamera utama UltraPixel adalah sebuah sensor kedalaman. Sensor ini digunakan bagi mengesan jarak di antara objek dan kamera ketika gambar diambil. Gambar yang diambil kemudian boleh diubah titik fokusnya selepas itu. Ini adalah fungsi yang sama dengan kamera Lythro dan Nokia Refocus untuk peranti Lumia.
Kami difahamkan sensor kamera UltraPixel masih dikekalkan sebesar 4 Megapixel tetapi dengan penambahbaikan berbanding model tahun sebelumnya. Sekali lagi HTC berpegang teguh kepada motto Megapixel tidak penting. One M8 juga kini dilengkapi dwi flash bagi memberikan tona warna gambar yang lebih semulajadi apabila flash digunakan. Antaramuka juga diberikan sentuhan Sense 6.0 yang minimalis. Sensor kedalaman yang terbina membolehkan anda melakukan beberapa kesan khas yang dipanggil;
- Foregrounder – mengubah latar belakang dengan beberapa pra tetapan seperti lukisan pensel sementara objek dihadapan kamera tidak diganggu
- Dimension Plus – Kesan khas seakan tiga dimensi apabila dilihat pada skrin peranti.
- UFocus – Ini adalah efek seakan Nokia Refocus yang kami ada sentuh beberapa perenggan di atas
- Copy Paste – meletakkan objek di hadapan gambar lain dengan mudah
- Season – Kesan khas seperti hujan dan salji beranimasi pada gambar.
HTC Zoe masih dikekalkan cuma kali ini ianya boleh dikongsi dan diakses oleh mana-mana peranti Android/IOS yang memuat turun aplikasi HTC Zoe dari Play Store/App Store.
Akhir sekali kamera hadapan adalah sebesar 5 Megapixel dengan lensa bersudut lebar bagi memudahkan anda mengambil potret selfie.
Kesimpulan
HTC One M8 memperbaiki beberapa kelemahan pada HTC One dengan menambah fungsi yang diperlukan pengguna serta inovasi yang dihasilkan HTC sendiri. Dari segi binaan One M8 mempunyai kemasan yang lebih baik dan selesa dipegang berbanding model tahun lalu. Ianya juga tampak lebih lasak kerana mempunyai badan aluminium yang lebih keras. Sense 6.0 membawakan penambahbaikan kepada Sense 5.5 yang pada hemat kami adalah antara antaramuka tercantik Android. Perubahan dilakukan tidak terlalu drastik tetapi fungsi tambahan seperti mengesan pergerakan jari ketika skrin dimatikan adalah menarik.
Kamera Ultrapixel dipertingkatkan tetapi kami tidak menyedari perubahan yang ketara dari tahun sebelumnya. Kami memerlukan lebih banyak sampel untuk memutuskan sama ada kamera One M8 adalah benar lebih baik dari One. Fungsi-fungsi kesan khas Duo Effect yang menggunakan sensor kedalaman terbina di atas kamera utama memberikan keunikan kepada peranti ini. Kamera hadapan berlensa sudut lebar 5 Megapixel pula memudahkan peggila selfie mengambil potret narsisistik mereka pada kualiti yang tinggi.
Dari pandang pertama singkat kami dengan HTC One M8, bolehlah kami katakan peranti ini adalah antara peranti Android kelas tinggi yang bakal menarik minat pengguna. Nantikan ulasan penuhnya di masa hadapan.
PRO dan Kelebihan
- Buatan yang sangat tegap dan kemas. Permukaan yang lebih melengkung berbanding HTC One membuatkan ianya lebih selesa dipegang.
- Sense 6.0 dengan beberapa pembaharuan baru seperti Motion Launch mempercepatkan akses kepada BlinkFeed, menghidupkan skrin serta mengakses aplikasi terakhir yang digunakan sebelum skrin dimatikan. Anda hanya perlu melakukan pergerakan jari (gesture) untuk melakukan fungsi pantas ini.
- Fungsi Duo Kamera yang membolehkan anda melakukan pemfokusan objek selepas gambar diambil adalah fungsi yang menarik. Mengikatkan kami kepada kamera Lythro dan Nokia Refocus.
- Dot View Cover yang membolehkan anda menjawab telefon tanpa penutup hadapan dibuka. Notifikasi juga boleh dipaparkan pada penutup dengan mudah.
KONTRA dan Kekurangan
- Saiz sensor dan kemampuan zoom yang sama dengan HTC One asal. Tiada perubahan kemampuan yang ketara.
- Tiada ketahanan debu ataupun kalis air.
- Kapasiti bateri yang kecil.
- Spesifikasi adalah benar berdasarkan maklumat yang diberikan minggu lalu. Sebarang perubahan akan diubah sekiranya berlaku ralat