Cybathlon : Olimpik Untuk Atlit Bionik Pada Tahun 2016

Cybathlon : Olimpik Untuk Atlit Bionik Pada Tahun 2016

Diterbitkan pada Mac 29, 2014 oleh .

Semasa kami masih remaja antara siri TV kegemaran kami ialah Bionic Woman dan 6 Million Dollar Man. Di dalam siri TV lewat 70an ini dua adi wira terhasil selepas mereka diberikan implan saibernatik yang memberikan mereka kekuatan melebihi manusia biasa. Pada dekad 80an pula kami menonton siri Beyond 2000 yang meramal manusia OKU bakal menjadi normal dengan wujudnya anggota palsu robotik yang mampu memberikan mereka kemampuan seperti anggota semula jadi.

Kini sudah tahun 2014 dan selepas hampir tiga dekad realiti masih belum menghampiri fantasi. Steve Austin bionik tidak wujud tetapi yang ada hanyalah Steve Austin botak yang membelah musuh di dalam gelanggang gusti. Wanita bionik Jaime Sommers juga masih belum wujud sebaliknya dunia kini hanya dipenuhi wanita plastik yang kelihatan seperti klon anak patung. Realiti sangat mengecewakan dari fantasi zaman pra-akil baligh kami.

Tetapi impian kami mungkin akan menjadi realiti dua tahun dari sekarang dengan kewujudan Cybathlon. Cybathlon bakal menjadi sukan Olimpik untuk atlit bionik.  Oscar Pistorius menjadi atlit kurang upaya pertama bertanding sebaris dengan atlit normal pada Olimpik 2012. Terdapat bantahan yang mengatakan kaki palsu gentian karbon Oscar memberikan beliau kelebihan berbanding anggota biasa. Inilah yang memberikan idea kepada penganjur Cybathlon. Cybathlon akan memperlihatkan sinergi teknologi dengan kekuatan otot manusia.

Antara acara yang bakal dipertandingkan ialah lumba lari dengan kaki robotik, lumba jalan kaki menggunakan kerangka ekso untuk atlet lumpuh dan lumba kerusi roda lasak bermotor. Sama-sama kita nantikan Cybathlon yang akan didakan di Switzerland pada tahun 2016. Mukin ini evolusi sukan seterusnya setelah penggiat e-sports mula diiktiraf sebagai atlet sejak kebelakangan ini.

bionicolympicslegzbionicolympicsexobionicolympicswheelchairSumber Cybathlon

 

 


TIPS & ULASAN