Cari @ Amanz

April menjelang tiba dan saat paling ditunggu-tunggu adalah jenaka April Fool yang dikeluarkan oleh gergasi teknologi terutamanya daripada Google. Sekiranya tahun lepas Google telah hadir dengan beberapa siri jenaka April Fool seperti Google Nose dan mod carian harta karun pada Google Maps, pada tahun ini pula Google telah menerbitkan jenaka April Fool pertama dari mereka dengan membolehkan pengguna menangkap Pokémon melalui Google Maps.

Dikenali sebagai Google Maps: Pokémon Challenge, jenaka April Fool ini hadir dengan cabaran yang membawakan misi utama untuk mengumpul seberapa banyak Pokémon yang ada. Untuk menjalankannya, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Google Maps dan seterusnya klik pada kotak Search. Selepas itu, klik pada Press Start untuk memulakan proses carian Pokémon.

Google Maps Pokemon

Seperti di dalam permainan video Pokémon, ia juga turut hadir dengan kebolehan menangkap Pokémon dengan hanya menekan karakter Pokémon di atas permukaan Google Maps tersebut. Setiap tangkapan Pokémon yang dibuat akan diletakkan ke dalam Pokédex iaitu katalog bagi semua tangkapan Pokémon yang telah dibuat oleh pemain.

Pihak Google turut mengatakan terdapat lebih 150 Pokémon yang boleh ditangkap dan kebanyakannya boleh didapati di bandar-bandar utama pada Google Maps. Sekiranya anda tidak menjumpai sebarang Pokémon di kawasan anda, anda boleh membuat carian dengan menaip ‘Googleplex’ dan di situ terdapat beberapa karakter Pokémon yang boleh ditangkap.

Melalui Google Maps: Pokémon Challenge, kelihatan pihak Google begitu komited dalam mencari siapakah yang bakal digelar sebagai Pokémon Master. Untuk melayakkan anda dengan gelaran ini, mulakan carian anda sekarang dan kumpulkan kesemua Pokémon sebelum cabaran Google Maps: Pokémon Challenge ini berakhir pada 2 April ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd