Cari @ Amanz

Antara fenomena tidak masuk akal pasca milenium ialah kegilaan orang ramai beratur selama berjam lamanya semata-mata untuk mendapatkan peranti terkini. Kegilaan ini kita mula sedari sejak iPhone mula memasuki pasaran. Setiap kali telefon pintar terkini Apple ini memasuki pasaran kita akan membaca tentang individu yang sanggup beratur di luar Apple Store selama berhari-hari kerana mahu jadi pemilik nombor satu. Kegilaan ini memberikan idea kepada Robert Samuel, seorang penduduk New York untuk membuka syarikat yang diberi nama Same Old Line Dude Inc (SOLD Inc) yang menawarkan perkhidmatan beratur untuk pihak anda sekiranya setiap kali produk baru dilancarkan.

Robert mendapat idea untuk memulakan perniagaan beratur berbayar ini tahun lalu apabila beliau menjual tempat beratur untuk sebuah iPhone 5 pada harga USD 325. Robert pada ketika itu baru sahaja diberhentikan kerja dan beratur sekadar suka-suka dengan niat menjual tempat beliau sekiranya menerima tawaran yang menarik. Kebetulan rumah beliau terletak berdekatan dengan sebuah Apple Store dan selepas menunggu selama 19 jam beliau berjaya menjual tempat beliau beratur kepada individu yang malas beratur. SOLD Inc kini menawarkan perkhidmatan beratur bukan sahaja untuk pelancaran produk baru malahan berkembang kepada beratur untuk pelancaran jenama pakaian terhad dan makanan popular. Di New York yang dipenuhi individu yang mahukan fesyen yang terkini, Robert sanggup beratur diuar gedung pakaian wanita kerana pelanggan wanita beliau tidak mempunyai motivasi atau kekuatan untuk bermalam di kaki lima seperti seorang gelandangan,

Bayaran yang dikenakan SOLD Inc ialah  USD 25 untuk sejam pertama menunggu dan USD 10 lagi untuk setiap jam seterunya. Menurut Robert lagi pekerjaan beliau ini memerlukan kesabaran yang tinggi terutama ketika musim sejuk. Bagi memastikan beliau tidak kebosanan Robert akan sentiasa membawa 2 buah iPhone, sebuah iPad dan beberapa pengecas mudah alih dan pemanas tangan bagi memudahkan beliau menghilangkan kebosanan menunggu.

Apa yang dilakukan Robert Samuel ialah sesuatu yang unik. Ini menunjukkan di dalam dunia moden ini ada sahaja idea menjana pendapatan dengan teknologi. Dalam kes ini menjana pendapatan dengan beratur untuk mendapatkan teknologi terkini bagi golongan kaya yang pemalas. Adakah anda sanggup untuk bekerja seperti Robert Samuel?

profesional-waiter-550x413

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd