Cari @ Amanz

Lanjutan daripada pengumuman berkaitan dengan Windows Phone 8.1, pihak Nokia turut mengambil pentas utama dalam berkongsi mengenai beberapa peranti baru mereka. Antaranya adalah Lumia 630 dan juga Lumia 635.

Lumia 630

Kedua-duanya menggunakan cip pemprosesan empat-teras, dilengkapi skrin bersaiz 4.5-inci ClearBlack, serta membawakan sokongan kerangka yang boleh diubah mengikut citarasa pengguna. Ia turut menyertakan kamera belakang 5-megapixel dan juga bateri berkapasiti 1800mAh. Nokia turut mengatakan peranti ini akan dilengkapi dengan cip berkuasa rendah SensorCore untuk beberapa tugasan tambahan termasuk fungsi memfokuskan kecergasan.

Membezakan antara kedua-dua peranti adalah sokongan rangkaiannya. Lumia 630 hadir dalam variasi sokongan satu SIM dan dwi-SIM, dan hanya menyokong 3G sahaja. Untuk Lumia 635 pula, ia hadir dengan sokongan rangkaian 4G bersama-sama dengannya.

Peranti ini turut membawakan rekaan butang kawalan atas-skrin, yang mana memberikan anda lebih ruang skrin apabila memainkan permainan ataupun menonton video.

Lumia 630 dan Lumia 635 akan menggunakan Windows Phone 8.1, selain menyertakan pelbagai aplikasi termasuk sokongan papan kekunci WordFlow, MixRadio, dan pelbagai aplikasi lain.

Kedua-duanya dijangka akan dipasarkan bermula bulan Mei ini untuk Lumia 630, sementara Lumia 635 akan dipasarkan bermula bulan Julai kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd