Projek telefon modular telah mendapat perhatian ramai setelah ia dipopularkan oleh konsep Phonebloks pada tahun lepas, sebelum pihak Motorola mengumumkan sedang membangunkan sesuatu berkaitan dengannya melalui projek yang dinamakan Project Ara.
Kini, selang beberapa bulan selepas pengumuman tersebut, beberapa perkembangan positif dikongsikan melalui sebuah video ringkas oleh pihak Phonebloks yang mengunjungi pasukan Project Ara di Google.
Secara kasarnya, video ini memperlihatkan individu yang terlibat dalam projek ini, disamping pada masa yang sama memperlihatkan bagaimana setiap komponen akan dihubungkan – iaitu melalui penggunaan electro-permanent magnet. Ia membolehkan setiap komponen dan modul dihubungkan ke bahagiannya, dan ditanggalkan dengan mudah sekiranya ingin digantikan.
Google dilihat akan mengadakan sebuah acara khas untuk pembangun pada pertengahan bulan ini memfokuskan kepada Project Ara ini, dan mungkin kita akan mendengar lebih lanjut berkenaan dengannya ketika itu.