Cari @ Amanz

Minggu lepas produk terbaru keluaran Western Digital, iaitu WD Passport Pro yang menggunakan teknologi Thunderbolt telah diumumkan. Pada hari ini, menerusi satu jemputan khas, pihak kami telah mencuba serta menguji prestasi WD Passport Pro. WD Passport Pro merupakan peranti pemacu cakera keras dikhususkan untuk pengguna yang inginkan penghantaran data yang pantas menggunakan Thunderbolt.

[amanz-gallery]

Peranti ini hadir dengan dua kapasiti storan iaitu pada saiz 2TB dan 4TB. Terdapat perbezaan saiz yang ketara pada peranti tersebut dimana variasi 4TB mempunyai ketebalan dua kali ganda berbanding 2TB. Juga berbeza dengan variasi keluarga ‘Passport’ yang lain, siri Pro ini juga membawakan kipas yang berfungsi untuk menyejukkan pemacu cakera keras ini. Wayar penyambung Thunderbolt yang disediakan turut mempunyai alur khusus untuk penyimpanan yang kemas. Hanya sambungan Thunderbolt yang diperlukan dan peranti ini juga menyokong fungsi duplikasi serentak RAID 1.

Melalui ujian ringkas kami, fail sebesar 15GB dapat dipindahkan dalam masa kurang 2 minit dan fail sebesar 3GB dapat dipindahkan dalam masa 30 saat. Dengan contoh lain, sekiranya anda mempunyai 500 fail gambar bersaiz 5MB setiap satunya, kesemua fail tersebut dapat dipindahkan dalam masa 12 saat. Ujian kelajuan menggunakan perisian Disk Speed Test keluaran Black Magic Design menunjukkan purata penghantaran dan merekodkan data selaju 210 MB/s (MegaBait per saat) dan kadangkala mencatatkan kelajuan 240MB/s.

Sepanjang pengujian tersebut, kipas yang terdapat pada peranti ini tidak bergerak dan kami difahamkan ianya hanya akan beroperasi apabila melebihi suhu tertentu. Peranti ini juga mempunyai badan aluminium untuk menyelesaikan masalah haba.

Peranti ini yang turut disertakan jaminan selama 3 tahun dan dijual pada harga RM999 untuk kapasiti 2TB dan RM1,399 untuk kapasiti 4TB. Ia sudah mula dijual di kedai-kedai perkakas IT utama tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd