Cari @ Amanz

Akhir-akhir ini, kita sering mendengar berkaitan dengan ketirisan data disebabkan beberapa kelemahan teknologi, sekaligus membuatkan ramai pengguna risau akan mengenai keselamatan akaun internet mereka yang menyimpan pelbagai maklumat.

Untuk mengurangkan risiko, salah satu perkara yang boleh dilakukan semua pengguna adalah mengaktifkan sokongan pengesahan dwi-faktor. Kebanyakkan perkhidmatan web menyokongnya, dimana ia akan memerlukan pengguna memasukkan kata laluan seperti biasa, dan kemudiannya turut memasukkan suatu kod tambahan yang akan dihantar terus ke peranti mudah-alih anda ataupun ditawarkan melalui suatu aplikasi khusus untuk pengguna.

Google

Google 2Step

Google memanggil sokongan ini sebagai “2-Step Verification”. Dengan mengaktifkan sokongan ini, ia akan memautkan akaun Google anda kepada nombor telefon peribadi anda, dimana setiap kali ingin log masuk daripada suatu komputer atau peranti tidak dikenali, anda akan diminta untuk memasukkan suatu kod rawak yang dihantar ke peranti mudah-alih anda dalam bentuk SMS.

Daripada percubaan kami, ia berfungsi dengan lancar, malah kadar kelajuan SMS dihantar juga amaat pantas berbanding kebanyakkan perkhidmatan yang lain.

Facebook

Facebook Login Approvals

Untuk fungsi yang sama, pihak Facebook memanggilnya sebagai Login Approvals. Sama seperti apa yang ditawarkan oleh Google, pihak Facebook turut menghantar SMS berbentuk suatu angka rawak untuk pengguna untuk dimasukkan ketika log masuk ke akaun Facebook mereka.

Selain bentuk SMS, sekiranya anda mempunyai aplikasi Facebook terpasang pada peranti mudah-alih anda, ia turut akan memberikan pilihan untuk menghantar kod melaluinya – yang mana berfungsi lebih pantas berbanding dengan penghantaran SMS.

Untuk mengaktifkannya, pengguna hanya perlu ke halaman Settings, dan memasukkan nombor telefon dan beberapa maklumat tambahan pada bahagian Login Approvals.

Twitter

Twitter turut menawarkan sokongan yang sama menyerupai Facebook, dimana pengguna boleh menggunakan sokongan SMS ataupun menggunakan aplikasi untuk menawarkan kod rawak untuk digunakan ketika log masuk ke perkhidmatan mereka.

Untuk mengaktifkannya, pengguna hanya perlu ke halaman Security di Twitter.com, dan kemudian mengaktifkan ia pada bahagian Login Verification.

Daripada percubaan kami, sokongan menghantar SMS seperti tidak berfungsi untuk pengguna di Malaysia buat masa ini, dan memerlukan pengguna hanya menggunakan sokongan untuk sahkan log masuk menggunakan aplikasi Twitter di iOS atau Android.

Untuk mengaktifkan sokongan ini, pengguna perlu ke halaman tetapan Twitter di aplikasi mereka, kemudian memilih tab Security. Padanya, pengguna hanya perlu memilih “Login Verification”, dan klik pada “On”.

Twitter Login Approvals

Twitter Login Approvals

Ketika mengaktifkannya, pengguna akan diberikan pilihan untuk membuat salinan kod pendua, yang mana boleh digunakan sekiranya anda ingin mengakses akaun Twitter anda, tetapi kehilangan telefon dan sebagainya.

  • Amaran
  • Hanya menyokong aplikasi Android dan iOS sahaja buat masa ini.
Microsoft

Dengan penggunaan akaun Microsoft pada Windows 8, Windows Phone, Skype, OneDrive dan sebagainya, akaun Microsoft kini turut menjadi salah satu akaun utama yang digunakan ramai pengguna di web.

Microsoft tidak mempunyai sebarang nama khusus untuk fungsi ini. Untuk mengaktifkannya, pengguna hanya perlu ke halaman akaun Microsoft mereka, dan klik pada “Security Info”.

Microsoft 2Factor

Untuk mengakses halaman ini sendiri, pengguna akan diminta memasukkan nombor telefon, dan sebuah kod khusus akan dihantar.

Sebaik sahaja memasuki halaman tersebut, pengguna akan diberikan pilihan untuk mengaktifkannya, dan menggunakan sebuah aplikasi khusus untuk menjana kod sekuriti untuk digunakan setiap kali memasuki perkhidmatan mereka.

Pilihan lain termasuk menghantar kod ke SMS, selain membolehkan anda membuat kod khusus untuk beberapa aplikasi dan peranti.

Yahoo!

Yahoo! turut sama menyediakan sokongan yang sama, dan cara mengaktifkannya boleh dikatakan agak mudah, walaupun pautan untuk mengaktifkannya agak tersorok sedikit.

Untuk mengaktifkan fungsi pengesahan dwi-faktor di Yahoo!, pengguna hanya perlu ke halaman Account Info mereka, dan kemudian klik pada “Set up your second sign-in verification”.

Yahoo! 2Step

Anda akan dibawa ke suatu halaman khas, dimana akan diminta untuk memasukkan nombor telefon dan kod rawak akan dihantar ke peranti anda. Sebaik sahaja memasukkan kod yang diterima ke web Yahoo!, sokongan pengesahan dwi-faktor akan diaktifkan pada akaun anda.

Steam

Platform permainan Steam turut menawarkan sokongan pengesahan dwi-faktor, tetapi ia menggunakan emel untuk menghantar kod rawak kepada pengguna, dan diperlukan untuk memasukkannya setiap kali log masuk ke Steam.

Steam Guard

Untuk mengaktifkannya, pengguna hanya perlu membuka Steam, dan kemudian pada halaman Settings, klik pada Manage Steam Guard Account.

Sebaik sahaja mengaktifkannya, sebuah tetingkap khas akan hadir setiap kali anda log masuk ke Steam, dan kod rawak lima aksara akan dihantar ke alamat emel anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd