Vatican Apostolic Library ialah antara perpustakaan tertua di dunia dan sudah dibuka sejak 1451 oleh Paus Nicholas V. Ia menempatkan lebih dari 82 000 manuskrip berharga yang ada di antaranya ditulis pada tahun kedua Masihi. Terapat ura-ura yang mengatakan Injil asal yang tidak diubah disimpan secara rahsia di dalam perpustakaan eksklusif ini. Mengapa kami katakan eksklusif? Ianya tidak dibuka kepada umum dan anda perlu memohon secara rasmi kepada Vatican untuk diberikan akses kepada manuskrip bersejarah yang tidak ternilai harganya. Perpustakaan ini mendapat perhatian dunia setelah muncul di dalam novel (dan kemudiannya filem) Angels and Demons nukilan Dan Brown. Akses yang terhad ini dilakukan pihak Vatican kerana mahu memastikan manuskrip yang tersimpan tidak akan rosak akibat sentuhan manusia.
Pihak perpustakaan dengan kerjasama syarikat NTT Data Corp kini sedang dalan proses mengimbas 3000 manuskrip yang kemudiannya akan diletakkan di atas talian secara percuma. Ini adalah langkah pertama untuk menghasilkan salinan lengkap digital kesemua manuskrip di dalam simpanan mereka. Fasa pertama projek ini dijangka mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan kos mencecah 18 juta Dollar. Buat masa ini kos ditanggung sepenuhnya oleh NTT Data Corp tetapi pihak Vatican berharap akan menerima tajaan dari pihak korporat. Logo penaja akan tertera bersebelahan imbasan yang diambil.
Apabila keseluruhan projek ini selesai, dianggarkan 4 000 000 Juta helai manuskrip akan siap di imbas yang mengambil ruang simpanan sebesar 48 Quadrillionbytes (48 Petabytes = 48 000 Terabytes). Pihak Vatican dan NTT Data Corp tidak mempunyai tarikh muktamad bila projek pengimbasan ini akan selesai kerana setiap manuskrip memerlukan teknik berbeza bagi memastikan ianya tidak rosak ketika proses pengimbasan. Kesemua imbasan manuskrip ini bukan sahaja akan dilihat buat pertama kali oleh umum tetapi berfungsi sebagai simpanan buat tamadun manusia masa hadapan apabila salinan asal musnah kerana pereputan semula jadi.
Dengan projek ni Vatican Apostolic Library menyertai Muzium British, Bibliothèque Nationale de France dan Cambridge University Library yang sudahpun mula meletakkan koleksi digital mereka di atas talian. Ini sememangnya projek yang menarik bagi penggemar sejarah seperti kami. Ini menimbulkan persoalan yang kami sudah tanyakan sejak tahun 2006 ketika menghasilkan projek tahun akhir di kolej. Bilakah Arkib Negara Malaysia akan melalukan projek pendigitalan manuskrip bersejarah negara? Ketika tahap kesedaran tentang sejarah negara yang kini di tahap yang rendah, kami rasakan ada baiknya sekiranya manuskrip seperti Perjanjian Pangkor, Negara-Negara Selat dan Perisytiharan Kemerdekaan Malaya diletakkan di atas talian untuk dilihat oleh generasi cilik IT negara.
Sumber Wall Street Journal