Cari @ Amanz

Selain Samsung, HTC dan Sony yang masing-masing telah memperkenalkan peranti utama mereka pada bulan lepas, ramai peminat LG turut menantikan kemaskini peranti utama untuk tahun ini. Kini, beberapa info baru hadir berkenaan peranti yang bakal dikenali dengan nama LG G3.

LG G3 dikatakan akan menggunakan skrin dengan paparan 2K – lebih kurang seperti Oppo Find 7 sebelum ini – yang mana menawarkan paparan yang amat menarik. Selain daripada skrin, mengikut beberapa laporan juga, LG dijangka akan menggunakan cip mereka yang tersendiri – yang bakal dikeluarkan oleh TSMC – membawakan rekaan berasaskan ARM untuknya. Memandangkan ia bakal menyokong paparan 2K, maka semestinya ia akan menyertakan tenaga pemprosesan yang agak tinggi berbanding beberapa peranti sedia ada.

LG Isai

Selain daripada spesifikasi, pihak LG juga semestinya akan mengemaskini rekaan peranti tersebut. Mengikut beberapa desas-desus, ia dikatakan akan menggunakan elemen rekaan menyerupai LG Isai yang telah tertiris baru-baru ini. LG Isai ini disasarkan untuk pasaran Jepun dan dijangka akan diumumkan sekitar bulan Mei kelak.

Buat masa ini, tarikh pasti berkenaan pengumuman LG G3 tidak diketahui lagi. Ramai yang membuat spekulasi yang mana ia akan dilancarkan pada penghujung Jun.

Apa pun, walaupun diumumkan sekitar Jun, ia tidak diketahui lagi sama ada peranti tersebut akan memasuki pasaran tempatan ataupun tidak. LG walaupun menawarkan beberapa peralatan elektronik mereka di Malaysia, namun bahagian penawaran peranti mudah-alih mereka masih tidak begitu aktif. Pelbagai peranti mereka pada tahun lepas masih tidak dilancarkan di Malaysia, termasuk LG G2, LG G2 Pro, dan juga LG G2 Mini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd