Cari @ Amanz

Ketika menulis artikel ini saya mengalami kemalangan ngeri yang mengakibatkan bahu saya patah 3. Artikel asal ditulis semula bagi menunjukkan beberapa perkara yang kami sedari ketika menggunakan Surface 2 dalam keadaan “cacat sementara”. Jadi apakah pembaharuan yang diberikan oleh Microsoft pada Surface 2 berbanding model tahun lalu?

Rekabentuk Dan Paras Rupa

Dari segi rekabentuk tiada perubahan ketara dilakukan. Sekali pandang ia kelihatan seperti Surface asal. Hanya warna perak pada panel belakang membezakan dua model berbeza ini. Selain itu tetongkat pada bahagian belakang juga diberikan penambahbaikan. Ianya kini boleh didirikan pada dua posisi bebeza berbanding hanya satu pada model asal. Pada posisi kedua, ianya memudahkan anda menaip pada Surface 2 ketika dalam posisi bersila atau melunjur kaki. Inilah yang dikatakan oleh Microsoft sebagai lappability.

Lappability menurut Microsoft ialah kemampuan menaip dengan peranti terletak di atas riba. Posisi tetongkat kedua sedikit sebanyak memudahkan kami menaip ketika Surface 2 di atas riba kami. Namun secara ikhlas pada posisi ini kami masih merasa kurang selesa untuk menaip dengan pantas. Ini adalah kerana saiz papan kekuncinya yang kecil.

Surface 2Desktop814

Surface 2 asurface1

Masalah Identiti : Tablet Ataupun Komputer Riba?

Sebagai sebuah tablet Surface 2 berfungsi dengan baik walaupun tidak berapa selesa untuk digunakan. Dalam posisi potret ianya tidak selesa dipegang untuk jangka masa yang lama kerana ianya terlalu panjang. Masalah ini sudah biasa kami temui pada kesemua tablet dengan skrin bernisbah 16:9. Apabila bahagian sisi dipegang dengan sebelah tangan, lengan menjadi lenguh. Apabila dipegang dengan dua tangan pula jari kerap tersentuh butang kapasitif pada bahagian tepi peranti. Anda tiada pilihan selain menggunakan peranti ini pada kedudukan landskap kerana inilah kedudukan paling selesa untuk peranti berskrin lebar. Kami kerap mendengar cemuhan dari penggemar Android yang mengatakan rekaan skrin iPad tidak berubah sejak muncul dipasarkan 4 tahun yang lalu. Mengapa Apple berkeras tidak mahu menghasilkan tablet dengan skrin 16:9? Jawapannya mudah kerana setakat ini kami tidak menemui bukti empirikal tablet16:9 bersrkin 10 inci ke atas boleh digunakan dengan selesa berbanding tablet 4:3.

Ini tidak bermakna Surface 2 bukan tablet yang baik. Ada beberapa ciri positif yang kami gemari seperti rekaan yang sangat premium. Ianya bukannya plastik atau kemasan kulit palsu yang kerap digunakan syarikat yang berasal dari negara Gaya Gangnam. Binaan tubuhnya juga tegap dan kental. Tidak perlu risau Surface 2 akan melengkung apabila disimpan di dalam beg sehingga mengakibatkan berlakunya warping pada skrin dan struktur peranti. Binaan butang kuasa dan suara juga baik. Terasa cukup keras dan tidak berplastik. Secara keseluruhan kuali binaan tablet ini adalah sangat premium. Pada bahagian sisi kanan terdapat port pengecas kuasa magnetik. Tidak seperti Surface Pro 2, Surface 2 tidak dilengkapi Surface Pen dengan teknologi Wacom.

Redmi NoteIMG_20140705_153412

Aplikasi Dimanakah Dikau?

Masalah paling utama Surface 2 ialah masalah identiti. Adakah ianya tablet ataupun sebuah komputer riba Windows? Umum diketahui perisian Windows RT bukanlah sistem operasi yang mempunyai sokongan aplikasi yang banyak. Kekurangan aplikasi yang boleh dimuat turun sedikit sebanyak mengurangkan kebarangkalian anda akan menyukai tablet ini. Sebagai contoh anda tiada pilihan lain selain menggunakan Internet Explorer untuk melayari web. Sebagai pengguna tegar Chrome di komputer desktop, paksaan menggunakan IE ini adalah menjengkelkan. Kami perlukan Chrome keran terdapat pemalam untuk Tweetdeck yang memudahkan kami bekerja dan melakukan kicauan di Twitter.

Surface 2 asurface4

Selain masalah sukar mencari aplikasi dan program untuk digunakan adalah masalah yang paling ketara ketika menggunakan Surface 2. Sebuah lagi masalah yang kronik bagi kami ialah ianya tidak serasi dengan kesemua peranti di luar sana. Kerap kali ketika melakukan tugasan luar kami harus memuat turun gambar dari kamera ke komputer riba menggunakan kabel USB. Beberapa kamera yang kami gunakan untuk tugasa tidak dapat dikesan Surface 2. Maka gambar yang tersimpan di dalam cakera keras kamera tidak dapat dimuat turun. Pillihan pembaca kad memori juga terhad dengan hanya terdapat satu slot pembaca kad MikroSD yang terbina. Jika anda menggunakan kad memori dari jenis lain anda bernasib malang. Anda perlu membeli pembaca kad USB untuk melihat kandungan kad memori anda. Pada komputer riba biasa, terdapat pembaca kad pelbagai jenis terbina.

Dua kekurangan yang kami sebutkan ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah individu tetapi bagi kami adalah amat menyukarkan.

Papan Kekunci

Papan kekunci magnetik yang bole anda gunakan dengan Surface 2 adalah aksesori yang baik tetapi masih kurang sempurna. Baik dan kurang sempurna ialah tema yang konsisten kami boleh katakan mengenai Surface 2.

Baik kerana anda mempunyai dua pilihan. Papan kekunci Type adalah seperti papan kekunci biasa dengan kekunci tampak yang boleh ditekan. Papan kekunci Touch pula adalah papan kekunci kapasitif. Secara peribadi kami lebih gemar menggunakan papan kekunci Type kerana ianya tidak canggung digunakan. Menekan papan kekunci Touch terasa sedikit aneh dan menyakitkan hujung jemari selepas digunakan untuk beberapa ketika. Kedua-dua papan kekunci ini mempunyai sokongan lampu backlit yang memudahkan menaip di dalam gelap. Agak menakjubkan fungsi ini boleh diletakkan di dalam papan kekunci yang sangat nipis. Butang kawalan suara dan pintasan – pintasan seperti Share juga disertakan pada kedua-dua fungsi kekunci.

Rekaan papan kekunci fizikal Surface 2 memang bagus namun perkara yang sama tidak boleh kami katakan mengenai touchpad terbina. Menggunakan touchpad ini untuk mentatal skrin contohnya adalah sangat mengecewakan. Kelajuan pengesanan tatalan tidak konsisten. Kadang kala gerakan jari sebanyak 2 inci menggerakkan tatalan ke bawah sebanyak 3 barisan. Kadang kala ia langsung tidak mengesan pergerakan jari anda. Selepas menggunakan Surface 2 selama dua hari kami berhenti menggunakan touchpad ini. Lebih mudah melakukan tatalan dengan menyentuh skrin Surface 2 secara terus. Kurang timbul perasaan amarah dan mahu menikam papan kekunci yang kurang responsif ini. Kami sarankan anda membawa tetikus sepanjang masa bagi menyelesaikan masalah trackpad ini.

Surface 2M2020008

Kesimpulan

Kami bukan penggemar komputer riba kerana ianya banyak kekurangan jika dibandingkan dengan komputer desktop skrin berkembar yang kami gunakan seharian di pejabat. Komputer riba yang kami gunakan apabila ada tugasan di luar pula (Acer Aspire S3) sudah hampir berumur 3 tahun. Sungguhpun Ultrabook ini sudah boleh dianggap antik, jumlah kerja yang boleh kami lakukan menggunakannya adalah jauh lebih banyak dari yang boleh dilakukan dengan Surface 2.

Surface 2 ialah sebuah tablet yang dikatakan boleh berfungsi seperti sebuah komputer riba. Dakwaan Microsoft ini mungkin benar tetapi ianya samalah seperti mengatakan sebuah Perodua Kancil boleh berfungsi sebagai sebuah Lamborghini Gallardo.

Kancil boleh membawa dua orang penumpang seperti Gallardo. Kancil boleh bergerak menggunakan empat tayar dan ianya juga mempunyai radio seperti Gallardo. Tetapi adakah kemampuannya sama seperti sebuah Gallardo. Tentu sekali tidak. Analogi inilah yang kami ingin gunakan dalam menggambarkan Surface 2.

Surface 2 asurface2

Kegagalan utamanya ialah sistem operasi yang terlalu terhad. Jika anda mahu menggunakannya sebagai tablet pilihan aplikasinya terhad. Mahu menggunakannya sebagai komputer kerja? Pilihan aplikasinya sekali lagi terhad. Adalah tidak melampau jika kami katakan sebuah tablet Android generik buatan China adalah jauh lebih berfungsi dari Surface 2 buat masa sekarang. Lebih banyak pilihan aplikasi yang boleh anda muat turun dengan rekaan yang lebih mesra pengguna.

Kesilapan yang dilakukan pada Surface 2012 tidak dipelajari Microsoft dalam penghasilan Surface 2. Tidak mengejutkan apabila Satya Nadella mengumumkan ketiga – tiga sistem operasi Windows Phone, Windows 8 dan Windows RT akan digabungkan menjadi sebuah sistem operasi di masa hadapan. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh Microsoft pada tahun 2012 ketika Windows 8 dilancarkan. Nyata lagi izhar halqi bahawa Windows RT ialah sebuah sistem operasi yang gagal kerana kekurangan sokongan aplikasi.

Microsoft Surface 2 ialah tablet yang mempunyai rekaan industri yang cantik serta kemas tetapi kesemuanya ini tidak berguna kerana menggunakan sistem operasi yang tidak mampu memenuhi kehendak paling asas.

Sukar untuk mengesyorkan pembelian tablet ini kecuali ianya ada dijual pada potongan harga melampau. Simpan duit anda dan beli sahaja Surface Pro 2 ataupun Surface 3 kerana lebih berbaloi.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang sangat premium dan kemas. Tubuh peranti tegap dan diperbuat daripada magnesium.
  • Tetongkat dengan dua posisi bagi memudahkan anda menaip.
  • Paparan HD penuh yang cantik.
  • Sistem operasi yang lancar. Tiada sela masa dan mod desktop membolehkan anda menggunakannya seperti sebuah komputer riba biasa.
KONTRA dan Kekurangan
  • Sokongan aplikasi yang masih kecil. Anda tidak langsung mempunyai pilihan mengubah pelayar internet kerana ketiadaan sokongan aplikasi lain.
  • Tidak berapa selesa digunakan sebagai sebuah tablet kerana terlalu berat.
  • Papan kekunci fizikal yang masih belum cukup sempurna. Trackpad yang kecil dan tidak responsif
  • Harga yang mahal bagi sebuah tablet dengan kemampuan dan pilihan aplikasi yang terhad.

 

Skor-Amanz-Surface-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd