Bersama Asus – Zenfone, ZenUI, Android Wear

Bersama Asus – Zenfone, ZenUI, Android Wear

Diterbitkan pada Apr 21, 2014 oleh .

Asus pada minggu lepas telah mengadakan acara pelancaran Asus Zenfone untuk pasaran rantau Asia Tenggara, dan menariknya kami telah berpeluang meluangkan masa beberapa minit bersama beberapa orang eksekutif daripada Asus dalam berkongsi beberapa perkara mengenai syarikat tersebut.

Apple yang mampu-dimilikiDaripada apa yang dikongsikan pihak Asus, Zenfone merupakan peranti mampu-milik daripada mereka yang mana membawakan ciri-ciri dan rekaan yang premium – berbeza dengan kebanyakkan peranti lain.

Secara berjenaka, CEO Asus mengatakan Zenfone ia merupakan peranti Apple pada harga mampu-milik.

Bagi yang mengikuti pandang pertama berkaitan Asus Zenfone kami, anda mungkin ketahui akan Zenfone menggunakan cip pemprosesan Intel, dan hadir dalam tiga variasi saiz – iaitu bersaiz 4-inci, 5-inci, dan juga 6-inci.

Daripada apa yang dilihat, Asus Zenfone berfungsi tanpa sebarang masalah – berbeza dengan kebanyakkan peranti lain pada harga jualan sama yang sering memperlihatkan kadar lengah masa yang ketara.

Asus Zenfone Indonesia

Zenfone juga merupakan telefon pintar pertama daripada Asus yang menggunakan antaramuka ZenUI. ZenUI merupakan antaramuka Android daripada pihak Asus, yang mana menyertakan beberapa fungsi tambahan kepada pengguna. Beberapa fungsi baru yang hadir termasuklah “Whats Next”, “Do It Later”, dan juga integrasi Omlet Chat.

Bagi pengguna peranti sedia ada, semestinya ramai yang tertanya-tanya akan mengenai bilakah peranti mereka akan menerimanya. Menurut pihak Asus, mereka menyasarkan untuk memperkenalkan ia kepada Padfone Infinity dan juga Fonepad 7 sekitar suku ketiga 2014 ini.

Selain daripada kemaskini ZenUI pada suku ketiga 2014 ini, pihak Asus juga turut menyasarkan untuk memperkenalkan jam tangan pintar mereka pada tempoh yang lebih kurang sama.

Asus mengatakan mereka merupakan salah seorang rakan kerjasama Google untuk platform Android Wear, dan bakal memperkenalkan peranti boleh-pakai mereka itu dalam beberapa bulan lagi. Apakah ciri-ciri yang akan disertakan masih menjadi tanda tanya. Namun, memandangkan pihak Asus sering hadir dengan peranti-peranti unik, mungkin kita boleh nantikan perkara sama untuk jam tangan pintar mereka kelak.

Di Malaysia, dalam masa terdekat ini pihak Asus akan menawarkan telefon pintar Zenfone pada harga bermula RM299, selain menyasarkan untuk membawa masuk Padfone Mini pada bulan hadapan.


TIPS & ULASAN