Cari @ Amanz

Android menguasai pasaran telefon pintar kerana kewujudan peranti-peranti mampu milik yang membanjiri pasaran.Anda boleh memiliki sebuah peranti Android dengan harga di bawah RM500. Adakah peranti murah ini mampu memberikan kepuasan kepada pemiliknya ataupun sekadar produk tangkap muat yang hanya membuang duit anda?

Huawei Honor 3C
Pemproses 1.3 GHz Empat Teras Mediatek
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama 8 Megapixel
Kamera Hadapan 5 Megapixel
Skrin 5″ LCD 720P
Bateri 2300 mAh

Huawei Honor 3C ialah sebuah lagi peranti Android mampu milik yang memasuki pasaran tempatan. Dengan harga jualan RM499 ia mempunyai harga yang kompetitif bagi sebuah peranti empat teras dengan spesifikasi sederhana.

Dari segi kualiti binaan Honor 3C adalah sebuah peranti yang kelihatan menarik. Ia mempunyai panel belakang yang diperbuat daripada plastik keras. Panel belakang ini boleh ditukar ganti dengan beberapa pilihan warna seperti emas champagne, hitam titanium dan kuning Lamborghini. Ianya cukup tebal untuk terasa selesa digenggam tidak seperti panel belakang peranti Samsung yang sering menerima kritikan kerana terlalu nipis. Panel belakang ini agak sukar untuk dibuka kerana ianya perlu di kupil dari slot MikroUSB .

Apabila panel dibuka anda boleh melihat bateri sebesar 2300 mAh. Ini adalah agak kecil bagi sebuah peranti dengan skrin 5″. Terdapat dua slot untuk kad MikroSIM tertapi hanya satu slot (slot sim 2) sahaja menyokong kad SIM 3G. Slot 1 hanya menyokong SIM GSM. Jadi sekiranya anda mempunyai telefon ini sila pastikan kad SIM and diletakkan pada slot nombor 2 untuk membolehkan anda melayari internet pada kelajuan yang lebih pantas. Di bawah dua slot SIM ini terdapat slot untuk kad MikroSD. Slot penambahan memori dalaman ini adalah sangat diperlukan kerana peranti ini hanya mempunyai muatan dalaman sebesar 8 Gigabyte. Untuk makluman pembaca Honor 3C menyokong penambahan memori dalaman sehingga 32 Gigabyte.

Dari segi rupa fizikal bahagian hadapan terdapat skrin LCD sebesar 5″. Ianya terang dan mempunyai resolusi 720P.  Honor 3C menggunakan butang navigasi kapasitif sepenuhnya pada bahagian hadapan. Butang home diimpit oleh butang back pada bahagian kiri dan butang menu di bahagian kanan. Untuk mengakses skrin multi tasking anda perlu menekan butang menu selama beberapa saat. Apa yang kami rasakan canggung ialah 3 butang kapasitif ini tidak dilengkapi lampu. Ini menyukarkan penggunaan dalam keadaan gelap. Pada bahagian depan juga terdapat kamera sebesar 5 Megapixel. Dari pengamatan kami kamera hadapan ini tidak dilengkapi lensa sudut  lebar.

Pada bahagian belakang pula terdapat kamera utama sebesar 8 Megapixel dengan flash. Terdapat juga pembesar suara mono pada bahagian bawah. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala manakala slot MikroUSB pula terletak pada bahagian bawah. Akhir sekali butang kuasa dan suara terletak di bahagian kanan peranti.

[amanz-gallery]

Emotion UI 2.0

Huawei1Antaramuka Emotion UI 2.0 digunakan pada Honor 3C. Antaramuka Emotion UI menggunakan ikon dengan rekaan rata yang kini popular pada kesemua sistem operasi peranti pintar. Seperti versi Emotion UI sebelum ini, antaramuka ini tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan diletakkan pada muka hadapan peranti. Ikon aplikasi ini kemudiannya boleh dikumpulkan ke dalam failnya tersendiri mengikut kehendak pengguna. Secara peribadi kami kurang menggemari antaramuka tanpa talam aplikasi. Tetapi Huawei bukan satu-satunya pengeluar yang memilih untuk menyusun aplikasi mereka seperti sebuah sistem operasi IOS.

Terdapat beberapa pilihan tema yang terhad. Tiada pilihan untuk memuat turun tema baru seperti yang ada pada Color OS buatan Oppo. Ini mungkin sedikit mengecewakan kepada mereka yang gemar melakukan kustomasi pada peranti milik mereka. Terdapat juga tetapan untuk menukar animasi pertukaran di antara paparan yang skrin utama.  Secara keseluruhan Emotion UI 2.0 mudah digunakan dengan kemampuan kustomasi yang terhad.

Tiada masalah sela masa sepanjang tempoh ujian Huawei Honor 3C. Ini berbeza dengan beberapa peranti Huawei yang pernah kami cuba sebelum ini.  Penggunaan pemproses empat teras dengan jumlah RAM yang mencukupi membantu menghilangkan masalah sela masa yang sering kita kaitkan dengan peranti kelas mampu milik. Sungguhpun begitu harus kami tekankan peranti ini mudah panas selepas digunakan. Tambah menghairankan membuka aplikasi Facebook sahajapun membuatkan panel belakang Honor 3C menjadi panas.

huaweiHonor3

Simple Home

Fungsi Simple Home mempermudahkan antaramuka kepada ikon-ikon besar yang boleh dipilih mengikut keperluan. Sekilas pandang ianya seperti Live Tile sistem operasi WIndows Phone. Kami merasakan antaramuka yang dipermudahkan ini dicipta untuk golongan tua dan kanak-kanak kerana mempunyai muka taip dan ikon aplikasi yang lebih besar. Ianya mungkin tidak digunakan oleh kebanyakan pengguna tetapi usaha Huawei untuk memudahkan penggunaan untuk dua golongan ini adalah dialu-alukan.

HuaweiHonor2

Kamera

Huawei Honor 3C dilengkapi kamera 8 Megapixel pada bahagian belakang lengkap dengan flash dan sebuah kamera 5 Megapixel pada bahagian hadapan.  Dari segi kemampuan video ia mampu mengambil video pada resolusi 1080P dengan 30 frame sesaat. Tiada fungsi tambahan seperti mengambil video dengan kemampuan HDR ataupun pergerakan perlahan.

Terdapat kawalan manual asas untuk menetapkan dedahan, ISO dan white balance. Terdapat juga beberapa tetapan automatik untuk mengambil gambar seperti mod waktu malam dan mod aksi. Fungsi mengambil gambar dengan rakaman audio seperti peranti Samsung Galaxy juga turut disertakan. Antaramuka aplikasi kamera Huawei Honor 3C adalah intuitif dan mudah untuk digunakan.

 

Kami membandingkan gambar yang diambil menggunakan Huwei Honor 3C dengan gambar yang diambil menggunakan sebuah HP Slate 6 Voice Tab. Peranti HP ini adalah lebih mahal dari Honor 3C. Mari lihat perbezaan kemampuan optik dua peranti ini. Dari gambar-gambar yang kami ambil jelas kelihatan gambar yang diambil menggunakan Honor 3C jauh lebih baik dari HP Slate 6 Voice Tab. Dari segi penghasilan warna ianya menyerupai warna semula jadi tanpa masalah kekuningan. Namun begitu kualiti gambar yang diambil dalam keadaan suram dan gelap adalah tidak sebaik gambar yang  diambil dalam situasi terang.

HuaweiHonor4Jika anda hanya mengambil gambar untuk dikongsi di laman sosial, kualiti gambar yang diambil menggunakan Huawei Honor 3C adalah memadai. Ianya tidak setajam gambar yang diambil peranti lebih mahal dengan sensor yang lebih besar tetapi ketajaman tidak berapa penting untuk perkongsian atas talian.

Huawei-P1 Huawei-P2 Huawei-P3 Huawei-P4

Penanda Aras

Kemampuan grafik Honor 3C adalah agak rendah. Ini adalah kerana Huawei menggunakan cip pemproses Mediatek MT6582 yang “terkenal” dengan kemampuan grafik yang kurang menyerlah.Ini adalah pemproses yang sama yang boleh anda temui pada Alcatel One Touch Hero yang kami ulas sebelum ini. Seperti One Touch Hero anda boleh lihat markah penanda aras yang diperolehi adalah rendah. Pada penanda aras Quadrant ia mencatat 5824 markah manakala pada Antutu pula ia mencatat 17049 markah.  Sungguhpun mempunyai kelajuan yang lebih rendah berbanding One Touch hero (1.3 Ghz berbanding 1.5 GHz) markah yang diperolehi Huawei Honor 3C lebih tinggi pada penanda aras Antutu ( One Touch Hero mencatat 14705 markah) , Beza pada penanda aras Quadrant pula hanya kurang 60 markah di antara peranti bercip Mediatek ini.

Pada penanda aras Futuremark pula peranti ini mencatat 2916 markah. Ini adalah setanding dengan markah yang diperolehi One Touch Hero.  Markah yang dicatat ini kurang memberangsangkan dan apabila kami mencuba beberapa aplikasi permainan dengan grafik 3D kelemahan pemproses Honor 3C jelas kelihatan. Pada permainan Temple Run 2 sebagai contoh grafik yang dipaparkan tidak berapa lancar. Kemampuan draw distance juga terhad dengan masalah. Jika dibandingkan dengan sebuah Motorola Moto G yang diperkasakan pemproses 1.2 GHz Empat Teras,  markah yang diperolehi Moto G berbanding Honor 3C dengan menggunakan Futuremark adalah hampir dua kali ganda bezanya (4400 markah)

Seperti yang kami nyatakan pada awal ulasan dari segi tatalan dan penggunaan biasa Honor 3C mampu berfungsi dengan baik tetapi apabila ianya digunakan sebagai peranti permainan mudah alih kelemahan pada cip pemproses yang digunakan jelas kelihatan.

Huawei-Honor-Penanda-Aras

Bateri

Honor 3C hanya dilengkapi bateri sebesar 2300 mAh dan ini adalah kecil bagi sebuah peranti berskrin 5″. Majoriti peranti dengan skrin bersaiz ini kini dilengkapi dengan bateri bersaiz 3000 mAh ke atas. Jangka hayat penggunaan Honor 3C nyata terjejas kerana kapasiti bateri yang kecil ini. Pada penggunaan sederhana ia mampu berfungsi selama 11. 5 jam tetapi pada penggunaan berat ianya menurun kepada hanya 5 jam. Jadi pastikan anda mempunyai powerbank yang besar jika anda menggunakan Honor 3C.

Huawei-Honor-Battery

Kesimpulan

Dengan harga RM499 Huawei Honor 3C ialah sebuah peranti mampu milik. Majoriti peranti mampu milik yang pernah kami ulas mempunyai masalah sela masa yang ketara serta kemampuan optik yang mengecewakan. Secara keseluruhan Honor 3C ialah sebuah peranti yang mempunyai kemampuan yang menarik sungguhpun dijual pada harga yang amat murah. Untuk penggunaan seharian seperti melakukan panggilan telefon dan melakukan kemas kini laman sosial Honor 3C mampu melakukan tugasan dengan baik tanpa kami menyedari adanya masalah besar. Kamera 8 Megapixel yang disertakan sudah cukup memandai untuk dimuat naik ke laman sosial. Penggunaan skrin hanya 720P bukanlah masalah yang besar kerana secara ikhlas kami katakan tidak ada beza ketara yang kami boleh lihat jika dibandingkan dengan peranti berskrin 1080P.

Kekurangan paling ketara yang kami harus nyatakan ialah jangka hayat bateri yang menyedihkan. Huawei Honor 3C dilengkapi bateri sebesar 2300 mAh sahaja.  Kebanyakkan peranti berskrin 5″ mempunyai bateri sebesar 3000 mAh dan keatas. Pada penggunaan berat ia hanya mampu bertahan selama  5 jam. Pada pengunaan sederhana pula bateri hanya mampu bertahan selama 11.5 jam. Jika and mahu memiliki peranti ini pastikan anda mempunyai sebuah powerbank.

Seperkara lagi yang kami rasakan aneh ialah ketiadaan lampu pada butang kawalan kapasitif. Ini menyukarkan penggunaan pada waktu malam. Akhir sekali kami juga menyedari peranti ini mudah panas sungguhpun hanya menggunakan aplikasi Facebeook.

Dari segi kemampuan grafik dan pemprosesan, cip 1.3 Ghz empat teras Mediatek MT6582 tidak sesuai digunakan untuk penggemar permainan dengan grafik intensif. Kami mencuba permainan Temple Run dan Godzilla : Strike Zone untuk menguji kemampuan grafik sebenar peranti ini. Kami sedari kualiti grafik dan kelancaran permainan adalah kurang memuaskan.

Akhir sekali adakah Huawei Honor 3C sebuah peranti yang berbaloi dimiliki? Sekiranya anda tidak bercadang untuk menggunakannya sebagai platform permainan mudah alih ataupun memerlukan peranti dengan hayat bateri yang panjang Honor 3C tidak akan mengecewakan anda. Pada harga RM499 ianya sebenarnya berfungsi lebih baik dari yang kami sangkakan. Ianya sesuai untuk mereka yang tidak mahu berbelanja besar untuk memiliki sebuah peranti pintar.

PRO dan Kelebihan
  • Buatan yang baik untuk sebuah peranti mampu milik. Terdapat pelbagai pilihan warna panel belakang yang boleh dibeli secara berasingan
  • Dwi SIM tetapi masih mempunyai ruang penambahan memori dalaman untuk kad MikroSD sehingga 32 Gigabyte. Kebanyakan peranti dwi SIM tidak mempunyai kemampuan ini.
  • Pilihan panel belakang pelbagai warna untuk memudahkan anda merubah warna peranti
  • Kelajuan tatalan yang lancar tanpa sebarang masalah sela masa.
  • Kemampuan kamera yang memuaskan bagi sebuah peranti mampu milik.
  • Harga mampu milik bagi sebuah peranti 4 teras dengan RAM sebesar 2 Gigabyte
KONTRA dan Kekurangan
  • Butang kapasitif tidak mempunyai lampu (backlight) dan ini menyukarkan penggunaan pada waktu malam.
  • Hanya satu slot untuk kad SIM 3G. Sebuah slot lagi hanya untuk kad SIM GSM
  • Hayat bateri yang sangat pendek. Pada penggunaan berat ia hanya mampu bertahan selama 5 jam manakala pada penggunaan sederhana ianya hanya bertahan selama 11.5 jam.
  • Mudah panas apabila digunakan.
  • Info
  • Huawei Honor 3C dijual pada harga RM499
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd