Cari @ Amanz

Peranti keluarga Google Nexus pada mulanya telah ditawarkan untuk para pembangun, sebelum turut menjadi popular dikalangan pengguna biasa, dalam menawarkan pengalaman penggunaan Android yang asli tanpa sebarang penambahan lain.

Nexus 7

Ia juga menjadi perhatian ramai pengguna memandangkan peranti Nexus akan menerima kemaskini Android lebih pantas berbanding yang lain, serta sokongan rasmi daripada pihak Google.

Apa pun, kini desas-desus baru hadir mengatakan Google akan menamatkan keluarga Nexus, dan mengantikannya dengan sebuah program baru dipanggil “Silver”.

Melalui “Silver”, ia dikatakan Google bersama-sama rakan kerjasama mereka yang lain akan menawarkan peranti Android premium dengan pengalaman Android asli. Untuk makluman, Google sedia menawarkan peranti daripada HTC, Samsung dan Sony dalam bentuk Google Play Edition, tetapi hanya ditawarkan melalui web sahaja.

Untuk program “Silver” ini, Google dikatakan akan turut menyumbangkan sejumlah wang pemasaran, untuk membolehkan peranti tersebut turut ditawarkan di pasaran lain, selain ditawarkan hanya melalui web sahaja.

Antara nama yang disebut-sebut akan menjadi rakan kerjasama awal dalam program ini adalah termasuk LG dan juga Motorola. Sementara Samsung, HTC dan Sony tidak lagi diketahui sama ada akan menyertainya ataupun tidak memandangkan mereka sedia mempunyai antaramuka dan beberapa aplikasi tambahan daripada mereka tersendiri.

Nexus Lima

Melalui program “Silver” ini, Google dikatakan akan mengehadkan aplikasi yang hadir terbina pada peranti, membolehkan pengguna membuang aplikasi yang tidak diingini, serta menerima kemaskini Android dengan lebih pantas berbanding apa yang ditawarkan pengeluar peranti hari ini.

Ia dikatakan akan menjadi salah satu usaha Google dalam menawarkan peranti Android dengan pengalaman penggunaan versi Android asli tanpa sebarang penambahan daripada pengeluar.

Seperti biasa Google tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan komen berkaitan perkara ini buat masa ini. Mungkinkah program ini akan menarik minat pengguna menggunakannya? Ataupun anda lebih meminati antaramuka khusus seperti TouchWiz dan Sense?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd