Cari @ Amanz

Penyebaran khabar angin adalah sesuatu yang sukar dihentikan sekarang. Ratusan khabar angin dengan mudah tersebar di laman-laman sosial tanpa ada pihak yang mahu memastikan apa yang dikongsi itu adalah benar-benar sahih. Contoh terbaik di Malaysia ialah penyebaran khabar angin kononnya MH370 mendarat di Yunnan China pada pagi 8 Mac yang lalu. Khabar angin ini tersebar sehingga pihak TV3 sendiri melaporkannya sebagai fakta sebelum terpaksa memadam “berita terkini” ini dari laman Twitter mereka. Sepuluh tahun sebelum itu khidmat pesanan ringkas tersebar di Kuala Lumpur kononnya berlaku sebuah lagi rusuhan kaum. Kami masih ingat melihat jiran-jiran berbangsa Tionghua berpusu-pusu ke pasaraya untuk membeli makanan untuk disimpan sekiranya rusuhan ini benar-benar terhjadi. Apa yang pasti gabungan khabar angin sensasi, laman sosial yang mudah diakses serta perangai orang kita yang segan mengkaji kebenaran sebelum menyebar menyebabkan berlakunya panik tanpa sebab. Sungguhpun begitu kita bernasib baik kerana penyebaran khabar angin di negara kita setakat ini belum membawa kepada pertumpahan darah.

Di Kenya tahun lalu penyebaran khabar angin mengakibatkan kematian 166 individu akibat pergeseran diantara dua kaum etnik. Terdapat khabar angin tanah milik kaum Orma dirampas kaum Pokomo. Tanah ini penting untuk perladangan dan penternakan lembu. Beberapa tahun sebelum ini kaum etnik minoriti India menjadi mangsa keganasan kerana mereka memegang ekonomi Kenya.

Una Hakika yang bermaksud “Adakah Anda Pasti” dalam bahasa Swahili adalah sistem khidmat pesanan ringkas yang dibangunkan bagi menghalang penyebaran khabar angin yang membawa kepada ketegangan antara kaum. Khidmat pesanan ringkas dipilih kerana ianya sistem terpantas dan mempunyai akses terbesar bagi menyebarkan berita yang sahih kepada kawasan pedalaman. Harus diingatkan di negara dunia ketiga lebih ramai orang mempunyai akses kepada telefon mudah alih dari sumber air bersih dan tandas yang sempurna! Seorang wakil dipilih di setiap kampung untuk menyebarkan berita dan maklumat terkini dari pihak pemerintah. Sekiranya mereka mendengar khabar angin mereka boleh menghubungi ibu pejabat Una Hakika untuk mendapatkan penjelasan.

Menarik melihat sistem yang kini dianggap kuno di Malaysia digunakan untuk mengalang keganasan etnik dari meletus di Kenya. Agak menarik juga melihat di Kenya berita rasmi dari kerajaan lebih mudah diterima oleh rakyat sebagai fakta. Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia di mana majoriti pengumuman dari pihak berkuasa dianggap tidak benar. Adakah teknologi membuatkan orang Malaysia menjadi sangat curiga dan paranoid berbanding warga Kenya?

3029321-inline-i-img7450

Sumbar Una Hakika

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd