Pandang Pertama : Samsung Galaxy K Zoom

Pandang Pertama : Samsung Galaxy K Zoom

Diterbitkan pada Mei 2, 2014 oleh .

Samsung pada awal minggu ini telah memperkenalkan salah satu telefon pintar baru yang mana memfokuskan kepada fungsi kamera, iaitu Galaxy K Zoom. Selain daripada kamera, ia menyertakan beberapa fungsi tambahan khusus, disamping mengekalkan pengalaman penggunaan TouchWiz pada peranti mereka.

Galaxy K?

Galaxy K dilihat sebagai nama keluarga baru oleh Samsung untuk peranti-peranti yang memfokuskan kepada keupayaan kamera, disamping turut menyertakan ciri-ciri terbaik daripada keluarga Galaxy S. Menurut Samsung, Galaxy K Zoom mungkin permulaan, dan mereka mungkin akan hadir dengan beberapa peranti lain dibawah keluarga “K” pada masa akan datang.

Bagi kami sendiri, langkah ini adalah lebih baik daripada penggunaan keluarga “Galaxy S” seperti pada tahun lepas. Pada tahun lepas, Samsung telah hadir dengan Galaxy S4 Zoom, yang mana agak mengelirukan pengguna, apatah lagi ia hadir dalam tempoh lebih kurang sebulan dua selepas Galaxy S4 yang sebenar hadir.

Dengan penggunaan nama keluarga baru ini, ia akan mengurangkan kekeliruaan dikalangan pengguna biasa.

Rekabentuk
Samsung Galaxy K Zoom
Pemproses 1.3Ghz Empat Teras dan
1.7Ghz Dwi-Teras
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB
Kamera 20.7MP BSI CMOS
Skrin 4.8″ HD Super AMOLED
Bateri 2430 mAh

Galaxy K Zoom dilihat membawakan rekaan lebih kurang menyerupai beberapa peranti Galaxy S sebelum ini, selain turut menggunakan tekstur kerangka belakang lebih kurang sama seperti Galaxy S5.

Daripada segi penggunaan, ia dilihat agak selesa untuk digunakan pada tangan, selain tidak begitu menganggu walaupun disimpan dalam poket. Apa pun, bagi kami ia agak janggal apabila melihat orang lain menjawab panggilan menggunakannya. Namun, apabila kita sendiri menggunakannya untuk menjawab panggilan, ia tidak begitu janggal – memandangkan saiz skrinnya yang lebih kecil daripada Galaxy S5.

Jikalau dibandingkan dengan Galaxy S4 Zoom, ia tampak lebih menarik, dan pada masa yang sama lebih ringan.

Galaxy K Zoom turut membawakan kerangka belakang dan bateri yang boleh ditanggalkan. Kad-SIM diposisikan dibawah bateri, selain mana kad mikro-SD yang boleh diakses dengan ruangan akses pada bahagian tepi peranti.

Kamera

Galaxy K Zoom menyertakan kamera dengan sensor 20.7-megapixel BSI CMOS yang mana turut hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal, sokongan zoom sehingga 10x, serta sokongan Xenon Flash.

Pihak Samsung sendiri menyertakan sokongan manual untuk mereka yang ingin merakamkan gambar dalam bentuk lebih profesional dan ingin mengawal kadar ISO dan sebagainya.

Daripada percubaan ringkas kami, sokongan auto-fokus pada Galaxy K Zoom berfungsi dengan pantas memudahkan pengguna untuk merakamkan gambar menggunakannya.

Untuk mengakses bahagian kamera dengan pantas, pengguna turut boleh menekan butang fizikal untuk rakaman gambar pada bahagian tepi peranti – dimana ia akan mengaktifkan kamera walaupun ketika peranti telah di kunci.

Selain gambar, seperti biasa pengguna turut boleh merakamkan video, tetapi ia hanya sekadar sehingga 1080p sahaja, dan bukannya seperti Galaxy S5 yang menyokong sehingga 4K.

Contoh Gambar K Zoom

Contoh Gambar K Zoom

Contoh Gambar K Zoom

Fungsi Khusus Kamera

Melengkapkan fungsinya sebagai kamera pintar, Samsung turut menyertakan beberapa aplikasi dan fungsi tambahan jikalau dibandingkan dengan Galaxy S4 Zoom sebelum ini.

Fungsi Smart Mode dikekalkan, tetapi ditambah dengan beberapa mod rakaman baru. Pada Galaxy S4 Zoom kita sedia melihat beberapa fungsi hadir, seperti rakaman panorama, rakaman gambar bergerak, rakaman untuk gerakan lampu, dan sebagainya.

Pada Galaxy K Zoom ini, Samsung menyertakan fungsi Selfie Timer. Menggunakannya ia membolehkan pengguna menggunakan kamera belakang untuk merakamkan gambar selfie. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu memilih kedudukan wajah pada skrin terlebih dahulu, dan menterbalikkan kamera dan menghala ke wajah pengguna. Galaxy K Zoom akan mengeluarkan bunyi apabila wajak pengguna diposisikan di lokasi yang ditandakan, dan seterusnya pengguna boleh merakamkan sehingga tiga rakaman dengan hanya satu klik.

Selain Selfie Timer, pihak Samsung turut menyertakan fungsi Pro Suggest turut disertakan, membolehkan pengguna memilih beberapa efek filter yang menarik. Menariknya untuk Pro Suggest adalah dimana pihak Samsung turut menyediakan sebuah aplikasi khusus dinamakan Pro Suggest Market untuk tujuan memuat-turun pelbagai efek tambahan ke peranti pengguna.

Satu lagi tarikan menarik bagi kami di Galaxy K Zoom adalah fungsi AF/AE Seperation, Menggunakannya, pengguna boleh menggunakan skrin sentuh dalam mengerakkan fokus dan exposure pada gambar, menjadikan rakaman anda lebih menarik berbanding kebiasaan.

Galaxy K Zoom TouchWiz

Galaxy K Zoom TouchWiz

Galaxy K Zoom TouchWiz

Penutup

Galaxy K Zoom mungkin disasarkan kepada mereka yang banyak merakamkan gambar, disamping pada masa yang sama inginkan sokongan telefoni dan perkongsian ke laman sosial dengan pantas. Penambahan zoom optikal serta Xenon Flash membolehkan rakaman yang lebih cantik dihasilkan jikalau dibandingkan dengan kebanyakkan telefon pintar yang lain. Percubaan secara ringkas oleh kami menunjukkan rakaman gambar yang agak jelas, tetapi agak gelap.

Apa pun, beberapa perkara masih menjadi tanda tanya, terutamanya penggunaan bateri, memandangkan peranti ini hadir dengan sokongan telefoni dan juga saiz sensor kamera yang besar. Saiz gambar yang dirakamkan juga agak besar (sekitar 7MB), membuatkan storan sebanyak 8GB agak kecil, dan memerlukan pengguna bergantung kepada kad mikro-SD untuk menggunakannya.

Samsung Malaysia mengatakan Galaxy K Zoom akan memasuki pasaran pada bulan Jun kelak, dan semestinya harga jualannya kelak akan menjadi penentu untuk para pengguna membuat pilihan untuk mendapatkannya ataupun sebaliknya.


TIPS & ULASAN