Sebelum ini, kita sedia mendengar berkenaan dengan tablet premium daripada Samsung yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Kini, selain daripada spesifikasi, dua gambar awal tertiris memperlihatkan rekabentuk peranti tersebut.
Daripada gambar yang tertiris, ia dilihat membawakan rekabentuk tablet seakan-akan tablet NotePro sebelum ini, dan menyertakan rekaan kerangka belakang seperti Galaxy S5.
Dari segi fungsi, ia juga dilihat akan menyertakan beberapa fungsi menyerupai Galaxy S5, termasuk sokongan pengimbas cap jari pada butang “Home”. Bagi kami yang telah sedia mencuba NotePro 12.2 sebelum ini, salah satu perkara yang kami kurang minat adalah butang fizikal “Home” memandangkan ia tidak begitu selesa digunakan apabila dikendalikan secara menegak. Apa pun, memandangkan Samsung ingin mengintegrasikan sokongan pengimbas cap jari, perkara tersebut mungkin tidak dapat dielakkan.
Galaxy Tab S ini dijangka akan menyertakan paparan dengan resolusi 2560×1600 pixel, cip pemprosesan lapan teras Exynos, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 2.1-megapixel dan juga beberapa sokongan lain termasuk sokongan IR-Blaster.
Ia tidak diketahui lagi bilakah Samsung akan memperkenalkan tablet ini secara rasmi. Memandangkan pelbagai info tertiris satu demi satu, mungkin kita akan lihat pelancarannya dalam masa terdekat ini.