Telefon Windows Phone 8.1 pertama di Malaysia?
Nokia pada awal April yang lepas telah memperkenalkan Nokia Lumia 630 dan Lumia 635 yang mana merupakan antara peranti terawal yang menggunakan Windows Phone 8.1 padanya. Kini, peranti tersebut dijangka akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.
Ketika pelancarannya, pihak Nokia sedia mengatakan Lumia 630 akan hadir ke pasaran sekitar bulan Mei ini, sementara variasi 4G iaitu Lumia 635 hanya dijangka akan hadir sekitar Julai kelak.
Lumia 630 dilihat menggunakan skrin bersaiz 4.5-inci dengan resolusi 854×480 pixel, cip pemprosesan empat-teras Snapdragon 400, memori 512MB RAm, dan juga kamera belakang 5-megapixel tanpa LED Flash.
Melalui jemputan emel yang telah dihantar, ia dilihat Microsoft Malaysia akan melancarkan Nokia Lumia 630 pada 20 Mei kelak, dan kita akan mendengar lebih lanjut mengenai harga jualannya pada tarikh tersebut.