Di Malaysia, terdapat beberapa aplikasi tempahan teksi, dan hari ini pihak Kerajaan Johor turut mengumumkan yang mana mereka akan hadir dengan sebuah aplikasi tempahan teksi khusus untuk pengguna disekitar Kawasan Iskandar Malaysia.
Buat masa ini, aplikasi tersebut tidak diberikan nama lagi, dan ia dikatakan akan siap sepenuhnya menjelang bulan Ogos kelak dengan aggaran kos sebanyak RM130,000.
Sebelum ini, pihak MyTeksi pernah mengumumkan kerjasama dengan pihak Perbadanan Awam Iskandar Malaysia dan juga Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad. Ia tidak diketahui lagi sama ada aplikasi baru ini akan menggunakan sepenuhnya teknologi baru, ataupun menggunakan teknologi MyTeksi tetapi hanya membawakan penjenamaan baru sahaja untuknya.
Kami telah menghubungi pihak MyTeksi berkaitan dengan perkara ini, dan akan mengemaskininya sebaik sahaja menerima maklumbalas daripada mereka.
Selain daripada MyTeksi, baru-baru ini pihak Taxi Monger juga baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan Johor Petekma untuk aplikasi yang dinamakan Johor Cab untuk pengguna di negeri tersebut.
Kemaskini : Pihak MyTeksi telah memberikan maklumbalas, mengatakan mereka akan terlibat sekiranya ia melibatkan Perbadanan Awam Iskandar Malaysia. Tiada maklumat lanjut yang dikongsikan berkenaan dengannya buat masa ini.