Keluarga peranti Desire daripada HTC merupakan keluarga peranti kelas pertengahan daripada mereka. Baru-baru ini HTC Malaysia telah memperkenalkan dua peranti baru dibawah keluarga Desire untuk pasaran Malaysia, iaitu HTC Desire 816 dan juga HTC Desire 610.
HTC Desire 816 boleh dikatakan sebagai salah satu peranti berskrin besar dibawah keluarga Desire. Ia menyertakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan resolusi 720p. Memandangkan telah diperkenalkan baru-baru ini, maka peranti ini menyertakan sokongan Sense 6.0 dan Android 4.4 KitKat, sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan lebih kurang seperti HTC One M8.
Beberapa fungsi popular seperti Blinkfeed, BoomSound, Zoe dan sebagainya turut disertakan, tetapi fungsi baru pada One M8 seperti dwi-tap untuk aktifkan skrin dan beberapa yang lain tidak disertakan.
Untuk bahagian belakang, HTC Desire 816 menyertakan kamera 13-megapixel dengan sokongan sensor BSI, selain kamera hadapan 5-megapixel yang mana mungkin disukai oleh ramai peminat selfie. Apa pun, untuk bahagian kerangka, ia dilihat membawakan plastik yang merakamkan cap jari – yang mana tampak jelas pada peranti berwarna gelap.
Di Malaysia, HTC Desire 816 ditawarkan pada harga RM1199.
Selain daripada HTC Desire 816, satu lagi peranti baru yang turut dibawah masuk ke pasaran tempatan adalah HTC Desire 610. Peranti ini membawakan rekaan yang lebih kurang menyerupai Desire 816, tetap pada skrin bersaiz 4.7-inci. Ia dilihat agak selesa untuk dipegang menggunakan sebelah tangan, dan turut dilengkapi dengan Android 4.4 KitKat dan antaramuka Sense 6.0.
Untuk bahagian belakang, peranti ini dilengkapi kamera 8-megapixel dan kamera hadapan 1.3-megapixel.
Peranti ini turut ditawarkan bersama-sama HTC Desire 816, dan membawakan tanda harga perbezaan sebanyak RM200.