Cari @ Amanz

 

Peranti boleh-pakai ialah kegilaan pengeluar sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Terdapat puluhan peranti boleh-pakai sudah membanjiri atau akan membanjiri pasaran.  Samsung menerjah masuk pasaran ini dan kini dikatakan menguasai 70% pasaran peranti boleh pakai dunia. Apa yang kami rasakan aneh ialah pasaran kamera pintar masih lagi lesu. Setahun selepas Galaxy Camera muncul di pasaran tidak banyak pengeluar cuba bersaing dengan kamera pintar yang paling dikenali ini.

Samsung Galaxy Camera 2
Pemproses 1.6 GHz Empat Teras
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera 16.3 MP  dengan zoom optikal 21X
Skrin 4.8″ LCD (720P)
Bateri 2000 mAh

Kekurangan saingan ini mungkin penyebab Samsung Galaxy Camera 2 dilancarkan di pasaran tanpa di warwarkan secara meluas. Tiada papan tanda gergasi diletakkan di tepi jalan bagi memasarkannya tidak seperti tahun lalu. Rata-rata Samsung menekankan telefon pintar dan Galaxy Gear sahaja. Kekurangan promosi ini mungkin kerana apabila tiada saingan maka tidak perlu menghabiskan wang untuk menjual produk yang sudah dikenali sebagai market leader kamera pintar.

Kekurangan saingan juga menyebabkan Samsung nampak seperti acuh tak acuh dalam penghasilan model terkini Galaxy Camera. Dari spesifikasi adalah ketara penambahbaikan berbanding model tahun sebelumnya adalah terlalu minima. Galaxy Camera 2 masih mengekalkan saiz sensor, kemampuan zoom dan skrin yang serupa dengan abang besarnya. Skrin sesentuh LCD pada bahagian belakang Galaxy Camera 2 juga dikekalkan dengan resolusi yang sama.

Perubahan nampaknya lebih dari segi kosmetik dengan rekabentuk kamera yang lebih nipis dan nampak lebih premium. Secara astetik ia meminjam kemasan seperti kulit yang boleh dilihat pada Galaxy Note 3 dan Galaxy Note Pro. Rekaan flash kamera ini juga diperbaharui. Sebelum ini ianya terbuka ke atas apabila digunakan tetapi kali ini ia terbuka ke atas dan ke depan.

[amanz-gallery]

Butang kawalan tahap zoom masih sama dan masih lagi menggunakan bahan plastik. Pada bahagian bawah kamera terdapat panel bateri, slot kad MikroSD dan juga output untuk HDMI Mikro. Kapasiti bateri dibesarkan kepada 2000 mAh berbanding 1650 mAh sebelum ini.

 

Antaramuka Dan Penggunaan

Tiada perubahan besar dilakukan ke atas antaramuka kamera pintar ini.  Pada skrin utama butang melancarkan aplikasi kamera dan talam aplikasi sentiasa kekal pada kiri dan kanan skrin. Aplikasi kamera juga boleh dilancarkan dengan menekan butang kamera fizikal. Berbeza dengan peranti Samsung yang lain, Galaxy Camera 2 tidak mempunyai butang kawalan fizikal. Ketiga -tiga butang navigasi dipaparkan pada skrin. Terdapat butang menu, home dan back. Tiada butang khas untuk melancarkan skrin multi tasking.

Antaramuka mudah difahami dan digunakan. Kelajuan tatalan dan proses menukar dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain juga lancar. Pemproses 1.6 GHz empat teras dan RAM sebesar 2 Gigabyte membantu kepada kelancaran peranti ini.

Galaxy Camera 2 kini menyokong penggunaan NFC. Ini memudahkan pemindahan gambar dari kamera ini ke peranti pintar anda. Sebuah lagi penggunaan NFC yang menarik ialah penggunaan aplikasi Remote Shutter. Melalui fungsi ini anda boleh menggunakan telefon pintar anda sebagai viewfinder kawalan jauh. Segala fungsi Galaxy Camera 2 dapat dikawal menerusi telefon pintar yang sudah ditambat melalui remote shutter. Fungsi ini boleh digunakan pada majoriti peranti Android di pasaran. Ini sebuah fungsi yang menarik tetapi kami sedari ianya masih belum cukup sempurna. Terdapat sela masa yang ketara dari saat anda memberikan arahan pada aplikasi sebelum Galaxy Camera 2 memberikan reaksi kepada arahan yang diberikan.

 

Kamera

Adakah pengguna memerlukan kamera pintar? Ini adalah soalan yang ditanyakan apabila Galaxy Camera muncul tahun lalu. Telefon pintar generasi terkini seperti Sony Xperia Z2, Samsung Galaxy S5 dan HTC M8 dilengkapi optik yang mampu mengambil gambar berkualiti setanding dengan kamera kompak yang ada dipasaran. Malah ketiga – tiga peranti flagship pengeluar peranti pintar ternama ini mempunyai beberapa fungsi yang tidak ada pada Samsung Galaxy Camera 2. OIeh itu kami rasakan kamera pintar kini sudah tidak lagi diperlukan.

Galaxy Camera 2 masih menggunakan kamera sebesar 16 Megapixel dengan kemampuan zoom sebanyak optikal sebanyak 21 kali. Ini bermakna tiada penambahbaikan berbanding model sebelum ini. Pada pendapat kami ini adalah amat mengecewakan kerana apabila model baru diperkenalkan kami mahu melihat kemampuannya dipertingkatkan. Galaxy Camera 2 seperti model sebelum ini tidak menyokong mod video 4K.

Penambahbaikan yang ketara hanya kelihatan pada beberapa fungsi pratetapan baru yang diperkenalkan seperti mengambil gambar GIF bergerak dan Kids Shot. Pratetapan baru ini memudahkan lagi penggunaan kamera tetapi kami rasakan pembaikan pada tahap perisian sahaja tidak memandai untuk membuatkan Galaxy Camera 2 berbaloi untuk dimiliki. Kami yakin dengan kemasan perisian, Galaxy Camera asal boleh melakukan perkara yang sama tanpa perlu anda membeli peranti baru.

Berikut adalah berapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera pintar ini. Kualiti gambar adalah baik dengan penghasilan warna yang sehampir mungkin dengan objek sebenar. Tiada masalah white balance ataupun dedahan berlebihan. Galaxy Camera 2 melakukan fungsi utamanya dengan cukup baik sekali.





Penanda Aras

Jika dibandingkan dengan model tahun lalu, kuasa pemproses Galaxy Camera 2 dinaikkan dari 1.4 GHz empat teras ke 1.6 GHz empat teras. RAM pula dinaikkan dari 1 Gigabyte ke 2 Gigabyte. Pada ujian Quadrant ia mencatatkan 6196 markah manakala pada ujian Antutu pula ia mencatatkan 21248 markah. Sepanjang tempoh ujian kami tidak mengalami sebarang masalah. Kesemua aplikasi yang kami gunakan berfungsi dengan baik dan tidak terhenti secara tiba- tiba. Bagi sebuah kamera pintar ia juga berkemampuan memainkan aplikasi permainan dengan lancar.

Bateri

Pada penggunaan berat hanya bateri boleh mencecah 8 jam. Pada penggunaan sederhana pula ia mampu bertahan selama 15 jam. Ini adalah sedikit lebih baik dari Galaxy Camera asal.

Kesimpulan

Kamera Android ialah pasaran yang boleh diklasifikasikan sebagai niche.  Tidak ramai orang kami kami kenali menggunakan kamera Android. Masalah paling ketara pada Galaxy Camera 2 seperti Galaxy Camera 1 ialah kualiti gambar yang masih belum setara kamera point and shoot yang ada dil uar sana. Harga kamera tidak pintar ini jauh lebih baik dalam 9/10 keadaan. Tiada penambahan dari segi kemampuan optik diberikan kepada Galaxy Camera 2. Gambar yang diambil cantik dan jelas tetapi adakah anda memerlukan kamera pintar semata-mata mahu mengambil gambar untuk muat naik di laman media sosial? Dalam hal ini sebuah peranti pintar kelas tinggi seperti Galaxy S5 buatan Samsung sendiri sudah memandai dan mampu mengambil gambar yang hampir setaraf dengan sebuah Galaxy Camera 2.

Kekurangan penambahbaikan model tahun 2014 ini berbanding model tahun lalu adalah mengecewakan. Tiada kemampuan rakaman video 4K. Aneh kerana Samsung sedang giat mempromosikan televisyen 4K mereka. Telefon pintar mereka seperti Note 3 dan S5 kedua-duanya mampu mengambil video di dalam mod ini. Jika anda sudah memiliki sebuah Galaxy Camera, kami rasakan tidak perlu anda memiliki model terkini ini kerana perbezaan kemampuan mengambil gambar yang minimum.

Apakah pembaharuan yang diberikan Samsung? Bateri yang lebih besar, kemampuan NFC, fungsi remote shutter dan beberapa pratetapan fungsi kamera baru. Kemampuan NFC ialah fungsi yang kami paling gemari pada Galaxy Camera 2 kerana ianya memudahkan pemindahan gambar dari kamera ini ke peranti pintar sekiranya perlu. Ianya juga digunakan bagi memudahkan tambahan Bluetooth ketika mengguna fungsi remote shutter. Remote shutter membolehkan telefon pintar anda menjadi alat  kawalan jauh Galaxy Camera 2. Ianya sebuah fungsi yang bagus walaupun terdapat sela masa yang ketara. Ianya juga mampu berfungsi dengan baik dengan kebanyakkan peranti Android lain. Ini tidak seperti Galaxy Gear yang hanya berfungsi dengan telefon keluarga Galaxy setakat ini.

Kualiti gambar yang diambil adalah baik jika dibandingkan dengan gambar yang diambil telefon pintar yang ada di pasaran. Pratetapan fungsi memudahkan pengambilan gambar kepada mereka yang kurang arif dalam seni fotografi. Tetapi jika dibandingkan dengan kamera kompak digital berjenama, gambar Galaxy Camera 2 masih belum mampu bertanding dari segi kualiti.

Dengan harga saranan RM1699 sebuah, ini adalah harga yang agak mahal bagi sebuah kamera kompak. Anda boleh membeli sebuah telefon pintar dengan spesifikasi yang agak baik pada harga serupa. Jadi adalah sukar untuk mengesyorkan pembelian kamera pintar ini. Beli hanya jika anda ada duit lebih dan merasakan anda perlukan kamera yang boleh memuat naik gambar ke Facebook dengan segera.

PRO dan Kelebihan
  • Kualiti binaan yang baik. Lebih nipis berbanding versi tahun lalu dan mempunyai kemasan lebih premium. Menggunakan kemasan kulit palsu seperti yang diperkenalkan pada Galaxy Note 3.
  • Akhirnya mempunyai sokongan NFC
  • Aplikasi remote shutter membolehkan anda menggunakan telefon pintar sebegai viewfinder jarak jauh
  • Beberapa pratetapan mengambil gambar yang baru yang memudahkan lagi anda menggunakan kamera pintar ini dalam situasi berbeza.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada penaiktarafan ketara dari segi kemampuan mengambil gambar berbanding versi sebelum ini. Saiz sensor yang sama. Tiada kemampuan mengambil video 4K
  • Harga yang mahal berbanding kamera point and shoot di pasaran. Kualiti gambar pula masih belum setanding sungguhpun harganya lebih mahal.



	                                
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd