HTC baru sahaja telah mulakan pemasaran HTC One M8 di Malaysia, dan kini pelbagai info mengenai satu lagi peranti baru daripada HTC mula tertiris satu demi satu ke arena web.
Terkini, pihak @evleaks telah berkongsi gambaran telefon pintar HTC One M8 Prime yang bakal hadir ke pasaran tidak lama lagi. Daripada apa yang dikongsikan, ia dilihat mengekalkan beberapa elemen rekaan HTC seperti dwi-speaker pada bahagian hadapan, disamping turut menyertakan sensor yang lebih besar pada bahagian belakang. Sokongan dwi-sensor seperti pada One M8 turut dikekalkan pada peranti ini.
Mengikut spesifikasi yang tertiris, peranti ini dilihat akan menyertakan cip pemprosesan Snapdragon 805, skrin bersaiz 5.5-inci dengan resolusi 2560×1440 pixel, memori 3GB RAM, dan hadir dengan sokongan rangkaian LTE Cat 6. Desas-desus awal turut mengatakan peranti ini akan membawakan sokongan kalis air, dan juga menggunakan kerangka yang dibuat menggunakan bahan yang agak unik dan berbeza berbanding beberapa peranti lain di pasaran.
Ia tidak diketahui lagi bilakah pihak HTC akan mengumumkannya. Mungkin mereka perlu memikirkan tarikh yang tepat supaya ia tidak mengecewakan para pembeli peranti HTC One M8 – yang masih belum sampai sebulan ia diperkenalkan di Malaysia.