Cari @ Amanz

Samsung selain menawarkan pelbagai jenis peranti, ia dilihat mereka juga turut sama ingin memfokuskan kepada tawaran kandungan menarik kepada pengguna mereka. Terkini, dalam usaha membawakan siri televisyen dari Amerika Syarikat kepada pengguna Asia, pihak Samsung dilihat mengumumkan sebuah perkhidmatan baru dinamakan sebagai Project Glued.

Daripada apa yang diketahui buat masa ini, perkhidmatan tersebut akan ditawarkan di Singapura dan Filipina pada suku ketiga tahun ini, dan akan diperluaskan ke negara Asia lain secara berperingkat.

Melalui perkhidmatan tersebut, Samsung akan menawarkan episod pertama untuk siri-TV secara percuma, dan pengguna boleh melanggan untuk satu musim selama 30 hari pada harga bermula $6.50.

Untuk permulaan, pihak Samsung bakal menawarkannya dalam bentuk aplikasi tablet dan telefon pintar. Selain daripada itu, pihak Samsung juga bakal hadir dengan versi web serta aplikasi televisyen untuknya tidak lama lagi.

Selain kandungan siri-TV daripada Amerika Syarikat, pihak Samsung juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyertakan kandungan daripada Asia.

Kami telah menghubungi pihak Samsung di Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan adakah ia akan turut hadir ke pasaran tempatan ataupun sebaliknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd