Carian
Ulasan Monitor: BenQ EW2440 24-inci
May 25, 2014 Arib Ismail

DSC02062

Cara pembelian monitor pada zaman kini boleh dirujuk dengan bermacam-macam perkara. Dengan lambakan jenis monitor di pasaran, ada pengguna lebih cenderung melihat teknologi monitor tersebut (seperti LCD, LED, dan IPS) dan ada yang menilai berdasarkan saiz serta resolusi skrin. Ada juga pengguna yang memilih monitor berdasarkan kecantikan skrin dan ada juga memilih berdasarkan rekabentuk monitor tersebut.

Namun antara aspek yang sering terlepas pandang adalah monitor yang hadir dengan ciri-ciri yang mesra dengan kesihatan mata. Pada hari ini, beberapa teknologi telah hadir daripada pengeluar dalam memastikan kesihatan anda bersama komputer terjaga dan salah satunya BenQ yang menghadirkan teknologi Low Blue Light.

Salah satu model monitor yang menarik perhatian saya adalah BenQ EW2440 yang juga hadir dengan teknologi Low Blue Light. Teknologi ini hadir untuk mengurangkan spektrum sinaran biru yang secara amnya dipancarkan daripada paparan monitor. Spektrum sinaran biru mengakibatkan beberapa permasalahan kesihatan seperti mata rosak, mata lesu, sakit kepala, dan turut menyumbang kepada masalah kesukaran untuk tidur. Teknologi ini dilihat menarik dan sejauh manakah prestasi monitor BenQ EW2440 ini? Ikuti ulasan saya di bawah.

DSC02074

Rekabentuk

Melihat monitor ini buat kali pertama, secara peribadi saya sukakan rekaannya. BenQ EW2440 didatangkan dengan ruangan bezel yang nipis dan hadir dengan sentuhan glossy pada binaan monitor ini. Elemen penting seperti bezel yang nipis sebenarnya menjadikan rekaan monitor lebih menarik dan seterusnya sebagai daya penarik halwa mata. Ia sebuah monitor yang sangat cantik bagi saya disamping ia hadir rekaan yang sangat minimal dan elegan.

Dari segi dimensi, monitor BenQ ini membawakan skrin 24-inci dengan resolusi 1920×1080 Full HD selain mempunyai kadar tindak balas (response time) selama 12 ms dan 4 ms ketika dalam mod permainan. Darjah pandangannya juga agak baik yang membolehkan pandangan dilihat dengan jelas sehingga 178 darjah dan color gamut sebanyak 72% turut menyumbang kepada prestasi warna pada BenQ EW2440. Seperti kebanyakan monitor lain juga, ia hadir dengan kadar keterangan (brightness) sebanyak 250 cd/m2 dan nisbah kontras sebanyak 3000:1.

DSC02069

Kawalan

BenQ EW2440 boleh dikatakan cemerlang dari segi rekabentuk namun dari segi kawalan monitor ini, saya boleh ia agak mengecewakan dan membuatkan anda berasa frust ketika pertama kali menggunakannya.

DSC02148Pertama, bentuk butang kawalan yang agak mengelirukan. Dari segi kedudukan, ia berada di bahagian hadapan monitor namun bentuk butangnya tidak begitu menonjol dan sukar ditemui bagi pengguna kali pertama. Ia membuatkan saya sendiri tercari-cari di manakah butang settings monitor ini dan selepas beberapa minit mencari, barulah saya menyedari ia terletak di bahagian bawah hadapan monitor. Butangnya terlalu kecil yang menyebabkan saya kurang pasti sama ada itu butang atau hanya sebagai pelengkap kepada elemen rekaan monitor ini, pada awalnya.

Seterusnya butang kawalan yang sensitif dengan sentuhan monitor ini juga dilihat terlalu sensitif dan akhirnya tidak berfungsi dengan baik. Menekan butang-butang ini kadang-kala membuatkan pengguna tersalah tekan fungsi lain. Secara peribadi saya lebih sukakan sekiranya ada butang fizikal bagi membolehkan proses memilih settings lebih mudah digunakan.

Dari segi menunya juga agak kurang menyerlah terutamanya dari segi penggunaan font nipis (yang sering digunakan pada produk China) dan juga kawalan settings yang bagi saya agak lambat serta kurang responsif.

DSC02123

Port Sambungan

Seperti monitor LED yang lain juga, BenQ EW2440 hadir dengan port sambungan standard yang terdiri daripada sambungan VGA dan juga sambungan HDMI. Selain daripada sambungan HDMI, satu fungsi menarik adalah kehadiran port MHL bagi membolehkan telefon pintar disambungkan ke paparan monitor. Fungsi seperti ini jarang saya lihat pada kebanyakan monitor dan saya boleh kata, BenQ EW2440 adalah salah satu monitor yang mesra dengan peranti mudah alih.

DSC02148Monitor ini turut hadir dengan dengan pembesar suara stereo dan boleh digunakan sekiranya pengguna ingin menyambungkan lubang earphone jack 3.5 mm dari komputer ke monitor BenQ ini. Selain itu, pembesar suara ini turut boleh berfungsi apabila pengguna menyambungkan peranti ke monitor ini melalui sambungan HDMI dan MHL.

Bersama-sama pakej pembelian, pihak BenQ membekalkan kabel VGA dan MHL namun tidak menyediakan kabel HDMI bersama-sama dengan monitor ini. Perkara ini sekaligus mengisi kontra produk ini dan pengguna terpaksa membelinya secara berasingan. Bagi saya, dengan zaman moden sebegini port HDMI sudah menjadi port standard dan pengeluar perlu menyertakannya bersama-sama dengan pakej pembelian.

Akan tetapi secara peribadi, saya jarang gunakan kabel untuk memaparkan kandungan dalam peranti ke monitor dan alangkah baiknya sekiranya kabel MHL ini digantikan dengan kabel HDMI yang lebih bermanfaat fungsinya.

DSC02123

Paparan dan Prestasi

Beberapa perkara yang suka mengenai BenQ EW2440 adalah warna yang dipersembahkan sangat baik dan panel paparan bukan reflektif menjadikan kandungan di dalam skrin mudah dilihat terutamanya di bawah pancaran cahaya terang. Tidak dilupa juga, penggunaan teknologi LED pada BenQ EW2440 sedikit sebanyak membantu dalam menghadirkan paparan yang menawan disamping membawakan penjimatan tenaga pada monitor ini.

Seperti yang saya katakan pada awal ulasan, monitor yang mesra kesihatan mata amat saya beratkan dan ini antara sebab utama saya sukakan BenQ EW2440. Fungsi Low Blue Light yang hadir bersama-sama monitor ini membantu dalam mengurangkan spektrum sinaran biru yang menyumbang kepada masalah kesihatan mata. Pada BenQ EW2440, fungsi ini boleh diakses melalui pemilihan mod seperti mod Multimedia yang mengurangkan kadar sinaran biru sebanyak 30%, mod Office sebanyak 60%, dan mod Reading sebanyak 70%.

Selain mod Low Blue Light, saya juga suka dengan teknologi flicker-free dengan Sense Eye 3 yang hadir bersama monitor ini. Teknologi ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar akan tetapi kita sebagai pengguna boleh merasakan bagaimana ia berfungsi. Pada monitor konvensional selalunya monitor akan membuat flick dengan kadar 200 per saat dan menggunakan EW2440, mata saya lebih selesa berhadapan dengan monitor berbanding Acer X203H yang saya gunakan sebelum ini. Perkara ini boleh diuji juga dengan menggunakan kamera telefon untuk mengenal pasti masalah flickering pada monitor.

DSC02123

Rumusan

Secara keselurahannya monitor BenQ EW2440 menjalankan tugas yang cemerlang dan sejujurnya sama amat berpuas hati dengan monitor ini. Ia sebuah monitor yang sangat baik dari segi fungsi dan saiz skrin 24-inci cukup memuaskan saya melakukan tugasan di hadapan komputer. Fungsi yang mesra kesihatan seperti Low Blue Light adalah fungsi kegemaran saya sekaligus memberikan keselesaan mata saya sepanjang menggunakan monitor ini.

Namun beberapa perkara yang saya kurang gemar adalah ketiadaan kabel HDMI yang disertakan bersama pakej pembelian dan juga butang kawalan yang teramat kecil dan sukar dilihat bagi pengguna kali pertama. Selain itu juga, fungsi menunya yang dilihat kurang responsif turut menyumbang kepada ruangan kontra bagi BenQ EW2440.

Pro
  • Rekabentuk kemas dan minimalis
  • Fungsi yang ditawarkan berpadanan dengan nilai dan harga
  • Teknologi skrin yang mesra kesihatan pengguna
Kontra
  • Kabel HDMI tidak disertakan bersama
  • Rekabentuk butang kawalan sukar dilihat untuk pengguna kali pertama
  • Menu kawalan kurang responsif

Bagi yang sedang bercadang untuk mencari sebuah monitor baru yang mesra dengan kesihatan mata anda dan berpatutan dengan nilai yang ditawarkan, BenQ EW2440 adalah monitor yang sangat disyorkan.

Skor Amanz 2014 (Monitor)

Komen