Huawei pada tahun lepas telah memperkenalkan Honor 3X, dan baru-baru ini telah hadir dengan kemaskini untuk peranti keluarga berkenaan, yang mana dikenali sebagai Honor 3X Pro.
Huawei Honor 3X Pro membawakan pelbagai spesifikasi yang lebih kurang sama dengan versi asal, tetapi hanya membawakan perkara baru pada resolusi skrin peranti berkenaan.
Honor 3X Pro hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci yang mana membawakan paparan resolusi 1080p – berbanding Honor 3X yang hanya membawakan paparan 720p sahaja. Dari segi cip pemprosesan, ia menggunakan cip lapan-teras 1.7Ghz MediaTek, memori sebanyak 2GB RAM, dan kamera 13-megapixel pada bahagian belakang.
Selain perubahan pada skrin, Honor 3X Pro turut dilihat membawakan perubahan pada rekaan kerangka belakang, dimana kini ia membawakan sedikit rekaan berbentuk teksture – sama seperti pada beberapa peranti Samsung.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada peranti ini akan memasuki pasaran tempatan ataupun sebaliknya. Memandangkan pihak Huawei akhir-akhir ini dilihat telah mula memfokuskan pasaran tempatan sejak hadir dengan VMall, ia tidak mustahil untuk mereka turut memperkenalkannya ke pasaran Malaysia pada masa akan datang.