Cari @ Amanz

Dengan pelbagai peranti pintar di pasaran hari ini, ramai pengguna lebih gemar mendapatkan kandungan dalam bentuk digital, termasuk lagu dan muzik. Berkongsi mengenainya hari ini melalui Twitter, Norman KRU memperlihatkan data jualan muzik di Malaysia pada tahun 2013 yang lepas.

Daripada apa yang dikongsikan, pada tahun lepas penjualan muzik secara digital di Malaysia mencapai angka RM51.7 juta, berbanding hanya RM26.9 juta secara fizikal. Secara kasarnya, penjualan secara digital kini membawakan jualan hampir dua kali ganda berbanding bentuk fizikal.

Di Malaysia, terdapat beberapa medium untuk mendapatkan lagu secara digital, termasuk salah satu yang popular adalah daripada iTunes. Ramai artis sedia mempromosikan penggunaan iTunes, apatah lagi ia memberikan kebebasan untuk para pengguna mendapatkan sesuatu lagu secara individu, dan bukannya dalam bentuk album seperti jualan fizikal.

Selain itu, syarikat telekomunikasi tempatan turut menawarkan beberapa kandungan eksklusif berbentuk lagu-lagu daripada artis tempatan kepada pelanggan mereka dalam bentuk muat-turun digital.

Mungkin dengan lebih banyak perkhidmatan memfokuskan pasaran Malaysia akhir-akhir ini, tidak mustahil untuk kita melihat angka jualan kandungan secara digital terus meningkat dari tahun ke tahun akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd