Google sebelum ini telah beberapa kali memperlihatkan kereta yang dipandu automatik mereka tersendiri, dimana ia menggunakan kenderaan sedia ada dengan beberapa peralatan tambahan untuk menjayakannya.
Bergerak selangkah ke hadapan, kini pihak Google melalui saluran YouTube baru khusus untuk projek ini memperlihatkan sebuah kenderaan prototaip baru untuk kenderaan yang dipandu automatik ini.
Secara kasarnya, kenderaan prototaip ini dilihat membawakan rekaan kenderaan bersaiz mini, dan dilihat hanya menyertakan dua tempat duduk penumpang sahaja.
Apa yang membezakan dengan kenderaan yang diuji sebelum ini adalah kenderaan prototaip ini tidak menyertakan alat kemudi, dan berfungsi secara automatik sepenuhnya.
Google mengatakan mereka menyertakan pelbagai sensor pada kenderaan ini untuk membolehkan ia mengesan pelbagai objek sekitar kenderaan tersebut.
Dari segi kelajuan, ia boleh dipandu sehingga 40km/j. Google mengatakan mereka akan membina lebih kurang seratus kenderaan prototaip untuknya, selain turut akan hadir dengan versi yang menyertakan kawalan manual tidak lama lagi.
Jadi, apa kata anda berkenaan rekaan kenderaan prototaip daripada Google ini?