Yahoo! Dijangka Hadir Dengan Pesaing YouTube Dalam Beberapa Bulan Lagi

Yahoo! Dijangka Hadir Dengan Pesaing YouTube Dalam Beberapa Bulan Lagi

Diterbitkan pada Mei 28, 2014 oleh .

Yahoo! sebelum ini telah dikatakan beberapa kali yang mana mereka akan memfokuskan kepada kandungan berbentuk video. Yahoo! telah mencuba untuk mendapatkan DailyMotion dan Hulu, tetapi gagal untuk membelinya, dan sebagai alternatif kini Yahoo! dilihat membangunkan platform mereka tersendiri.

Yahoo! sedia mempunyai laman memfokuskan video mereka, namun ia tidak membolehkan pengguna memuat-naik kandungan mereka tersendiri, sekaligus menjadikan platform mereka kurang menarik minat pengguna untuk menonton kandungan.

Apa pun, ia dijangka akan berubah tidak lama lagi. Yahoo! dikatakan akan menarik para penerbit kandungan dengan menawarkan perkongsian wang daripada iklan pada kadar yang lebih tinggi berbanding YouTube, disamping akan turut memperlihatkan beberapa kandungan di halaman utama Yahoo!.

Mengikut laporan AdAge, setiap penerbit kandungan dikatakan akan mendapat saluran mereka tersendiri – menyerupai YouTube, dan pada masa yang sama bagi mereka yang menandatangani perjanjian dengan Yahoo! akan menerima kelebihan untuk memperlihatkan kandungan mereka di pelbagai halaman milik Yahoo! termasuk di Tumblr.

Seperti biasa, pihak Yahoo! tidak mengeluarkan komen rasmi buat masa ini, dan strategi pihak Yahoo! yang kini meningkat naik kembali dengan platform video mereka ini kelak dijangka akan menarik perhatian ramai pihak seluruh dunia.


TIPS & ULASAN