Apple Mengumumkan iOS 8 Secara Rasmi

Apple Mengumumkan iOS 8 Secara Rasmi

Diterbitkan pada June 3, 2014 oleh .

Seperti yang dinantikan, Apple hari ini dengan secara rasminya telah mengumumkan kemaskini sistem operasi mudah-alih mereka, iOS 8. Sistem operasi dari Apple ini membawakan pelbagai pembaharuan seperti penambahbaikan dan kehadiran fungsi baru bersama-sama dengannya.

iOS 8 dilihat tidak membawakan perubahan yang besar pada antaramuka namun pihak Apple telah menambahbaik beberapa perkara seperti prestasi dan menambah fungsi baru seperti HealthKit, QuickType, Family Sharing, notifikasi interaktif, dan pengintegrasian penuh antara peranti iOS dan OS X.

HealthKit

Salah satu fungsi yang ditekankan melalui iOS 8 adalah sokongan kesihatan yang dipanggil HealthKit. Aplikasi ini akan mengumpulkan data-data yang berkaitan dengan kesihatan anda seperti aktiviti harian, jumlah kalori, kadar degupan jantung, tekanan darah, dan corak masa tidur anda. Fungsi ini turut sama diintegrasikan bersama aksesori seperti Fitbit dan Nike Armband bagi membolehkan rekod kesihatan dikeluarkan untuk kegunaan di klinik dan hospital.

Health-hub

Family Sharing

Perkongsian pintar antara peranti keluarga pengguna kini lebih dipermudahkan melalui fungsi Family Sharing. Fungsi ini membolehkan kesemua peranti keluarga anda membuat proses sync gambar, kalendar, acara, dan reminder untuk diselarikan sebagai satu unit. Selain itu, Family Sharing turut memudahkan ibu bapa mengesan anak-anak mereka melalui fungsi Find My iPhone selain memudahkan proses perkongsian gambar, muzik, dan video antara ahli keluarga yang lain. Apa yang menarik lagi, Family Sharing turut membolehkan ibu bapa mengawal pembelian pada akaun iTunes seperti meminta kebenaran daripada anda sebelum anak anda membeli aplikasi pada App Store.

Family-Sharing

Permesejan secara berkumpulan pada Messages

Fungsi Messages kini telah didatangkan dengan perkara baru seperti fungsi permesejan secara berkumpulan. Melaluinya, anda boleh membuat kumpulan permesejan baru dan meletak atau membuang senarai rakan pada sesebuah kumpulan. Seperti aplikasi permesejan yang lain juga, ia turut hadir dengan fungsi Do Not Disturb untuk “mute” sesuatu kenalan atau kumpulan selain hadir dengan fungsi permesejan audio dan video pada aplikasi Messages ini.

Group-messaging

Kekunci dengan sokongan QuickType

Sokongan papan kekunci pada iOS 8 dilihat telah diberi penambahbaikan seperti kehadiran fungsi QuickType. Fungsi ini akan menyenaraikan suggestion untuk perkataan yang anda akan taip pada seterusnya sekaligus mengurangkan masa anda untuk menaip perkataan secara penuh. Sekiranya anda masih kurang berpuas hati dengan papan kekunci yang sedia ada, Apple telah membuka sokongan kekunci kepada pihak ketiga melalui iOS 8. Bermakna, anda mungkin boleh menggantikan papan kekunci yang sedia ada dengan papan kekunci yang lain seperti SwiftKey dan Swype.

QuickType-keyboard

Notifikasi interaktif dengan sokongan widget

Melalui iOS 8, anda kini boleh membuat quick reply ke mesej atau e-mel, membuat posting ke Facebook atau Twitter terus melalui fungsi Notification Center tanpa perlu keluar daripada aplikasi. Selain notifikasi interaktif, Apple akhirnya kini memperkenalkan fungsi widget yang mana membolehkan aplikasi pihak ketiga menampilkan widget mereka untuk digunakan pada Notification Center.

Interactive-notifications-and-third-party-widgets

Senarai kenalan yang kerap dihubungi pada multitasking

Akses kepada senarai kenalan yang kerap dihubungi kini lebih dipermudahkan pada iOS 8. Dengan hanya membuat tap sebanyak dua kali pada butang Home, paparan multitasking kini turut didatangkan dengan senarai kenalan pada bahagian atas. Fungsi ini dilihat memudahkan anda membuat panggilan atau ingin menghantar mesej kepada senarai kenalan yang kerap dihubungi.

Frequent-Contacts-in-Multitasking-View

Fungsi Spotlight yang diperbaharui

Fungsi carian yang dikenali sebagai Spotlight kini membolehkan anda mencari sejumlah besar perkara seperti aplikasi, berita, senarai lokasi, dan senarai lagu di iTunes dengan hanya satu tempat sahaja.

Spotlight

Siri kini menyokong pengecaman audio Shazam

Fungsi pembantu peribadi Siri turut diberi kemaskini melalui iOS 8 dan kini ia boleh diaktifkan dengan hanya menyebut “Hey, Siri”. Seperti yang dikatakan sebelum ini, Siri kini menyokong fungsi pengecaman audio Shazam yang membolehkan lagu yang tidak diketahui dikenalpasti melalui fungsi ini. Pihak Apple mengatakan Siri kini telah menyokong 22 bahasa baru melalui sistem operasi iOS 8.

Pembaharuan pada aplikasi Photos

Apple dalam masa yang sama telah membawa aplikasi Photos dengan lebih baik lagi bersama-sama dengan iOS 8. Pengguna kini dihidangkan dengan fungsi pengeditan baru yang diberi nama Smart Editing bagi membolehkan gambar yang telah diedit diselarikan antara peranti. Fungsi pengeditan asas pada Photos juga turut diperbaharui dengan menawarkan lebih kawalan pada fungsi yang dibekalkan secara terbina.

Photos

iCloud Drive

Apple dilihat telah menyertakan fungsi iCloud Drive bagi menggantikan fungsi iCloud sebelum ini pada iOS 8. Tidak seperti iCloud, iCloud Drive kini tidak lagi terhad untuk peranti Apple sahaja malah boleh digunakan pada platform lain termasuk Windows.

iCloud-Drive

Sokongan gesture baru pada fungsi e-mel

Aplikasi Mail pada iOS 8 kini diberi sedikit penambahbaikan terutama dari segi kawalan gesture. Sebelum ini, apabila anda membuat swipe pada sesuatu e-mel, ia hanya memaparkan pilihan Trash sahaja dan ini membataskan beberapa perkara yang boleh dibuat melaluinya. Melalui iOS 8, fungsi Mail ini akan memaparkan lebih fungsi seperti membuang e-mel ke Trash, Flag atau melihat info e-mel dengan lebih lanjut apabila anda membuat kawalan gesture ini. Walaupun ia hanyalah satu penambahbaikan yang kecil namun ia amat berguna sekiranya anda kerap menggunakan aplikasi Mail ini pada peranti iOS anda.

New-Mail-Gestures1

Antaramuka dan animasi yang diperbaharui

Selain membawa pembaharuan dari segi fungsi, Apple turut sama tidak ketinggalan menambahbaik pengalaman pengguna pada iOS 8. Apple dilihat telah meminimakan kesan animasi pada iOS 8 untuk meningkatkan lagi prestasi keseluruhan pada sistem operasi ini.

New-design-and-animations

Penambahbaikan pada fungsi Maps

Fungsi Maps boleh dikatakan agak kurang mendapat sambutan sebelum ini atas masalah ketidaktepatan pada sistem pemetaan. Perkara ini dilihat telah diatasi oleh Apple dengan membawakan sistem pemetaan yang lebih baik melalui iOS 8. Beberapa fungsi tambahan seperti perkongsian mengikut masa turut hadir bagi membolehkan anda mengetahui lokasi kenalan anda pada masa tertentu.

Maps

Integrasi penuh iOS 8 bersama OS X Yosemite

Perkara utama yang cukup mengagumkan bagi iOS 8 adalah pengintegrasian pintar antara peranti iOS dengan OS X. Melalui integrasi pintar yang dikenali sebagai Continuity, ia membolehkan anda menjawab panggilan daripada iPhone terus melalui Mac anda. Sekiranya anda menerima e-mel atau mesej baru, anda boleh menjawabnya terus melalui Mac tanpa perlu menyentuh iPhone anda. Perkara ini amat berguna sekiranya anda meletakkan iPhone anda di bilik dan anda bersama Macbook anda di ruang tamu tanpa perlu mengambil iPhone anda. Turut tidak ketinggalan, Continuity juga memudahkan anda menyambung Mac ke WiFi hotspot daripada iPhone anda secara automatik melalui fungsi Instant Hotspot.

desktop_continuity_hero1

Sokongan Handoff

Antara fungsi yang menarik perhatian pada iOS 8 adalah sokongan Handoff. Fungsi ini adalah sambungan tambahan kepada fungsi AirDrop yang membolehkan anda menyambung semula aktiviti terakhir yang anda tinggalkan kepada peranti anda yang lain. Misalnya, sekiranya anda membuka laman web di iPad pada sebelumnya, ia akan menyambung semula pelayaran web yang ditinggalkan ke iPhone anda.

Handoff

Versi pembangunan iOS 8 boleh dimuat-turun bermula hari ini dan versi akhir bakal hadir melalui kemaskini pada September ini. Senarai peranti yang menyokong iOS 8 ialah iPhone 4S dan ke atas, iPad 2 dan ke atas, iPad mini dan ke atas, serta iPod touch generasi kelima.

iOS 8 Support Device


TIPS & ULASAN