Google Ingin Memperkenalkan Pemalam Chrome Untuk Penyulitan Penuh Emel

Google Ingin Memperkenalkan Pemalam Chrome Untuk Penyulitan Penuh Emel

Diterbitkan pada June 4, 2014 oleh .

Google hari ini berkongsi perancangan mereka, dimana mereka bakal memperkenalkan sebuah pemalam khusus untuk Chrome yang akan menawarkan penyulitan menyeluruh untuk perkhidmatan emel berasaskan web.

Pemalam yang dinamakan sebagai End-To-End ini akan membolehkan sesiapa sahaja mengaktifkan sokongan penyulitan pada sebarang perkhidmatan emel berasaskan web. Perkara ini sekaligus akan membolehkan hanya mereka yang dituju sahaja yang membaca emel tanpa dicerobohi pihak ketiga.

Penyulitan Emel

Pada hari ini, terdapat beberapa aplikasi yang menawarkan sokongan yang lebih kurang sama, tetapi ia mungkin agak teknikal untuk pengguna biasa – membuatkan sokongan penyulitan jarang digunakan ramai.

Google turut berkongsi data, mengatakan hampir 65% mesej dari GMail ke perkhidmatan lain melalui penyulitan, dan hanya sekadar 50% mesej dari penyedia emel lain ke GMail yang melalui proses sama.

Buat masa ini, Google hanya sekadar menawarkan kod sumber untuk pemalam End-To-End mereka, dan masih tidak berkongsi sebarang tarikh berkenaan bilakah pemalam tersebut akan diperkenalkan kepada pengguna Chrome secara rasminya.


TIPS & ULASAN