Cari @ Amanz

Sekiranya dilihat pada evolusi teknologi masa kini, salah satu perkara yang menjadi cabaran utama pengilang dan pengeluar peranti adalah kapasiti kuasa elektrik yang tersedia pada peranti. Teknologi bateri boleh dikatakan tidak berkembang pesat selaju teknologi storan dan pemprosesan jika dilihat dari segi pengecilan komponen tersebut. Menyedari hakikat tersebut, Xiaomi, dalam memasarkan peranti telefon pintar mereka turut hadir dengan peranti pengecas kuasa Mi Power Bank dengan kapasiti 10400mAh yang dijual pada harga RM36.

mi power bank-1

Rekabentuk & Spesifikasi

Spesifikasi
Input DC 5.0V / 2.0A
Output DC 5.1V / 2.1A
Berat 250g (10400mAh)
Pilihan Kapasiti 10400mAh RM36 / 5200mAh RM25

Rekaan Mi Power Bank boleh dikatakan agak premium kerana ia hadir dengan kemasan aluminium pada badan peranti ini. Ianya seberat 250g dengan ketebalan kurang dari 1 inci. Ia agak kecil jika ingin dibandingkan dengan peranti pengecas lain yang mempunyai kapasiti pengecasan yang sama. Turut disertakan adalah kabel Micro-USB dengan setiap unit.

Ia dilengkapi 4 lampu LED yang memberikan indikasi berkenaan kapasiti pengecasan yang tersedia didalam peranti ini. Setiap LED mewakili 25% kuasa pengecasan. Boleh dikatakan keseluruhan rekaan peranti ini mempunyai tema seakan-akan Apple dan tidak mustahil sekiranya Apple mempunyai iPowerBank, maka Mi Power Bank boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri tersebut.

mi power bank-3

Penggunaan
Menurut pengalaman penulis, berbanding dengan kebanyakan peranti pengecas kuasa yang ada di pasaran dan menawarkan sehingga 80%-100% kuasa, peranti ini pula hanya mempunyai 25% apabila penulis mula menggunakannya untuk kali pertama. Perkara ini dibuktikan apabila peranti ini yang baru digunakan boleh mengecas penuh iPhone 5 (kapasiti bateri 1440 mAh) sebanyak dua kali sebelum peranti pengecas kehabisan kuasa pada percubaan pengecasan kali ketiga. Mi Power Bank juga memerlukan 5-6 jam untuk pengecasan penuh.

Melalui ujian ringkas, dengan menggunakan peranti ini, ia boleh mengecas iPhone 5 sebanyak 5 kali. Sekiranya dikirakan, jumlah tenaga digunakan sebanyak 7200 mAh namun oleh kerana dalam dua kali pengecasan tersebut terdapat aktiviti Waze yang beroperasi selama 4 jam, ia mungkin sesuatu yang turut memberi kesan kepada pengecasan. Menurut laman web rasmi, peranti ini boleh mengecas iPhone 5S sebanyak 4.5 kali. Boleh dikatakan dari hasil ujian ringkas, ia agak konsisten.

mi power bank-2
Harga RM 36. Gimik atau Betul?
Xiaomi memasarkan peranti ini pada harga RM 36. Kita sudah terbiasa dengan peribahasa ‘alah membeli, menang memakai’ dimana kita mungkin menyangkakan hanya barang-barang yang mahal barulah berkualiti dan bagus untuk digunakan. Xiaomi cuba mengubah tanggapan tersebut dengan menyediakan peranti berkualiti pada harga murah kerana mereka boleh menyasarkan kesemua unit habis dijual.

Xiaomi juga mampu menjualnya pada harga sebegini kerana mereka menjual kesemua peranti melalui kedai atas talian mereka pada masa singkat justeru mengurangkan kos-kos pengedaran dan kos gudang. Pada harga RM36, ia sememangnya dijual pada harga yang sangat menggiurkan menyebabkan Mi Power Bank habis dijual dalam masa 1 minit dan 2 saat pada fasa kedua penjualannya. Untuk mereka yang tidak biasa dengan Xiaomi, mereka sentiasa menjual peranti dengan kuantiti yang terhad jadi sekiranya anda melawat laman web mereka pada masa biasa, ia akan memaparkan ketiadaan stok.

Berkenaan proses pembeliannya, ianya perlu dilakukan dengan pantas. Malahan unit yang dibeli kami ini dibeli pada hari kedua selepas penjualan fasa pertama (20 Mei 2014). Ini kerana selepas 24 jam, pembelian yang gagal dilengkapkan pada hari sebelumnya akan dijual semula pada masa yang sangat terhad. Untuk penjualan fasa ketiga, Xiaomi turut hadir dengan pilihan dengan kapasiti 5200 mAh pada harga RM25 yang akan ditawarkan esok (10 Jun 2014).

Pro

  • Harga yang sangat murah jika dibandingkan dengan kuasa yang diberikan.
  • Kemasan yang tampak premium dan kualiti binaan yang kukuh.

Kontra

  • 25% kuasa tersedia pada kali pertama penggunaan. Agak rendah berbanding kebiasaan peranti pengecas yang lain.
  • Kabel Micro-USB yang pendek.

powerbank-score

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd