Cari @ Amanz

Samsung menjadualkan sebuah acara media khas pada minggu ini, dimana mereka dijangka akan memperlihatkan keluarga tablet baru mereka – Galaxy Tab S. Ia dijangka akan menyertakan pelbagai ciri-ciri premium padanya, lebih kurang sama seperti Galaxy S5.

Samsung Galaxy Tab S

Lanjutan daripada gambar tertiris sebelum ini, hari ini sebuah gambar baru turut hadir, memperlihatkan sokongan menjawab panggilan pada tablet berkenaan. Daripada gambar yang diperlihatkan, ia kelihatan seperti pengguna boleh menghubungkan telefon ke tablet, dan menjawabnya melalui tablet berkenaan. Namun, pada masa yang sama, berkemungkinan fungsi yang diperlihatkan juga mungkin mempunyai kaedah kawalan yang lain.

Galaxy Tab S dikatakan akan hadir menggunakan skrin 10.1-inci, dilengkapi resolusi 2560×1600 pixel, menggunakan cip pemprosesan Exynos 5420 lapan teras, memori sebanyak 3GB RAM, dan kamera belakang 8-megapixel. Tablet ini turut dikatakan akan menggunakan Android 4.4.2 KitKat, serta antaramuka TouchWiz daripada Samsung.

Selain sokongan panggilan telefoni ini, tablet ini turut dijangka akan menyertakan pengimbas cap jari, sokongan Download Booster, dan pelbagai perkara yang lain – menyerupai Galaxy S5.

Samsung menjadualkan acara khas mereka pada penghujung minggu ini, dan mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenainya melalui acara berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd