Carian
Pengumpulan Dana RM16 Juta Untuk Siasatan Terbuka Mengenai MH370 Melalui Indiegogo
June 11, 2014 Ikhwan Nazri

Lebih 90 hari telah berlalu berkenaan misteri kehilangan pesawat MH370 yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing. Terbaru pada 8 Jun lepas, sekumpulan waris mangsa MH370 telahpun memulakan pengumpulan dana awam di platform Indiegogo bagi mewujudkan siasatan bebas terhadap kejadian ini. Mereka menyasarkan sebanyak USD 5 Juta ( ~RM 16 Juta ) untuk dana siasatan tersebut.

Menurut halaman rasmi tersebut, sekumpulan waris mangsa ini berhasrat untuk menggunakan dana yang dikumpulkan ini demi memberikan ganjaran buat sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini dan maklumat tersebut haruslah sesuatu yang boleh disahkan benar.  Mereka juga akan menggunakan dana tersebut bagi tujuan mengupah pasukan penyiasat bebas dalam merungkai peristiwa ini. Dana ini juga akan digunakan untuk perkara-perkara yang melibatkan siasatan lanjut.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=T8smuq4qWbc]

Mereka yang mengendalikan dana ini terdiri dari waris mangsa yang kebanyakannya dari luar negara dan juga penyiasat persendirian. Hasrat mereka dengan kewujudan dana ini juga mereka dapat menggesa pihak berwajib berkenaan keselamatan dunia penerbangan bagi memastikan tragedi ini tidak berulang.

Sehingga kini, lebih dari USD 23,000 telah dikumpulkan dan tempoh pengumpulan dana ini akan tamat pada 8 Julai 2014. Semasa artikel ini tulis, terdapat kenaikan pada pengumpulan dana ini. Dana ini dikumpulkan dengan terma ‘Flexible Funding’ dimana sekiranya sasaran USD 5 Juta tidak tercapai, wang yang telah dikumpulkan tetap akan diberikan kepada pengendali dana ini (kumpulan waris + penyiasat).

Terdahulu, semasa pengumpulan dana untuk Ubuntu Edge tahun lepas pada platform Indiegogo, lebih dari 77 sumbangan terhadap kempen tersebut adalah dari Malaysia bernilai USD 35,300 (~ RM 113,000)

Komen