SwiftKey Beralih Ke Freemium – Aplikasi Android Kini Percuma

SwiftKey Beralih Ke Freemium – Aplikasi Android Kini Percuma

Diterbitkan pada June 11, 2014 oleh .

SwiftKeySwiftKey merupakan salah satu penyedia aplikasi berbentuk papan-kekunci untuk Android, menawarkan beberapa ciri-ciri khusus seperti kemudahan menaip dengan pantas, selain turut menyediakan perkataan cadangan ketika pengguna menaip menggunakannya.

Satu lagi kelebihan pada aplikasi SwiftKey ini adalah dimana ia boleh mengadaptasi mengikut penggunaan pengguna harian, sekaligus menawarkan perkataan cadangan yang lebih selari dengan seseorang pengguna.

Aplikasi SwiftKey hanya ditawarkan secara berbayar sahaja kepada pengguna Android sebelum ini, tetapi bermula hari ini ia dilihat pihak pembangunnya telah mengubah kaedah penawaran aplikasi mereka. Aplikasi yang dijual pada harga $3.99 sebelum ini kini mula ditawarkan secara percuma, tetapi hadir dengan beberapa kandungan berbayar melalui sokongan pembelian-dalam-aplikasi. Untuk tujuan ini, pihak SwiftKey menyediakan sokongan SwiftKey Store yang mana mula menawarkan beberapa pilihan tema papan kekunci untuk pengguna. Penawaran lebih banyak kandungan berbeza dijangka akan hadir padanya tidak lama lagi.

Dengan perubahan ini, pihak SwiftKey menyasarkan lebih banyak pengguna yang akan menggunakan aplikasi mereka, terutamanya menyasarkan kepada mereka dinegara-negara membangun yang mempunyai kekangan untuk membuat pembayaran menggunakan kad kredit dan sebagainya.

Selain perubahan kepada penawaran percuma ini, pihak SwiftKey trut menambah beberapa fungsi baru, termasuk sokongan emoji, dan kemaskini antaramuka untuk papan kekunci mereka.

Bagi pengguna Android, anda boleh memuat-turun aplikasi SwiftKey ini secara percuma daripada Google Play Store hari ini dan mula menggunakannya dalam memudahkan anda menaip pada peranti skrin sentuh anda. Pihak SwiftKey juga turut dijangka hadir dengan aplikasi yang lebih kurang sama untuk pengguna iOS tidak lama lagi.

Muat-Turun SwiftKey untuk Android


TIPS & ULASAN