Cari @ Amanz

Echelon 2014 telah menghimpunkan ramai peserta dari seantero Asia dan seluruh dunia. Peserta yang hadir dari pelbagai latarbelakang. Pada acara forum “E-Commerce in Asia: Where to From Here?”, ia dikendalikan oleh Grace Clapham,  CEO dari Change Ventures.

Turut serta adalah 4 panelis iaitu

  • Alexis Horowitz-Burdick, CEO Luxuria
  • Roger E.Egan III, CEO Red Mart
  • Chua Kee Lock, CEO Vertex Venture Holdings
  • Nguyen Lloa Binh, CEO Peacesoft Solutions Corporations

Sepanjang forum ini mereka membincangkan mengenai tips-tips dan perkara yang perlu diketahui startup dalam menjalankan perniagaan dalam talian di Asia. Kesemua panelis bersetuju yang Singapura mempunyai landskap terbaik untuk menguji sama ada perniagaan dalam talian startup boleh dilakukan pada skala besar. Ini kerana Singapura merupakan negara yang padat dan mempunyai rakyat yang biasa dengan pembelian dalam talian.

Chua Kee Lock yang juga merupakan pelabur MyTeksi (GrabTaxi) melalui Vertex Venture Holdings baru-baru ini turut menggesa supaya startup rantau ini belajar bagaimana perniagaan dalam talian dijalankan oleh startup dari Taiwan dan Jepun. Startup disana turut menyediakan perkhidmatan untuk menghantar barang yang dipesan ke lokasi 7-11 berhampiran, dan bukan sekadar penghantaran ke pejabat dan rumah.

Roger pula berpendapat rakyat Singapura, atau boleh dikatakan juga rakyat rantau ini tidak menghargai kemudahan sebagaimana rakyat di Barat. Kami bersetuju dengan pendapat tersebut malah tidak dinafikan masih terdapat stigma tidak percaya atas pembelian dalam talian. Ini mungkin kerana kekerapan kes penipuan yang sentiasa berlaku dalam talian.

Nguyen pula menambah yang setiap startup perlu memahami budaya dan corak pemikiran untuk memastikan perniagaan dalam talian tersebut berjaya. Alexis menamatkan sesi forum tersebut dengan peringatan untuk sentiasa peka dengan kehendak pengguna yang disasarkan. Ia kerana tidak semestinya suatu cara yang berkesan itu sesuai dengan apa yang diinginkan pengguna.

Kami merasakan yang perniagaan dalam talian di Malaysia berkembang pesat malahan terdapat inisiatif pihak kerajaan dalam memastikan perniagaan dalam talian selamat melalui penguatkuasaan undang-undang.

Artikel kiriman: Shariff Raffi
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd