Tahun ini fungsi yang menekankan privasi pengguna semakin hangat diperkatakan. Aplikasi Snapchat yang memulakan perkhidmatannya tahun lepas mendapat perhatian ramai. Fungsi untuk memadam mesej setelah dibaca seolah-olah menerima misi dari Impossible Mission Force dilihat bukan sahaja elegan, tetapi praktikal. Terbaru, aplikasi Path juga mengambil langkah tersebut, akan membuang mesej yang diterima selepas 24 jam bermula hari ini.
Path turut menyatakan bahawa fungsi ini juga akan diaplikasikan untuk mesej-mesej terdahulu. Secara ringkasnya kesemua bentuk mesej akan dipadam dari server Path selepas 24 jam ia dihantar ke penerima. Kesemua mesej yang dimuat turun pula akan disimpan didalam peranti mudah alih pengguna sehingga pengguna log keluar aplikasi Path, membuang aplikasi Path, atau mengemaskini aplikasi Path.
Pada pendapat kami, fungsi sebegini sudah pasti berguna sekiranya kita ingin menghantar mesej yang sangat sulit akan tetapi satu masalah juga timbul apabila kita tidak menyimpan maklumat yang diterima. Seperti contoh kes penipuan ataupun kes penceraian melalui mesej aplikasi tidak dapat dibuktikan sekiranya penerima tersebut tidak menyimpan/mencetak mesej tersebut sebagai bahan bukti.
Apa pendapat anda dengan teknologi ‘memadam mesej setelah dibaca’ ?