Cari @ Amanz

Dengan butang Like daripada Facebook yang diimplementasikan kebanyakkan laman web seluruh dunia, ia tidak mustahil untuk pihak Facebook mengetahui beberapa info mengenai pelayaran web pengguna mereka. Kini, ia dilaporkan Facebook bakal berkongsi data tersebut dengan para pengiklan dalam usaha mereka memudahkan penyasaran iklan kepada pengguna.

Sehingga kini, pihak Facebook hanya memaparkan beberapa data terhad sahaja, seperti Like pengguna, lokasi dan beberapa yang lain. Dengan menawarkan data pelayaran web, ia akan memudahkan para pengiklan menyasarkan iklan kepada pengguna mereka, sekaligus memperlihatkan pengguna dengan iklan yang mereka inginkan.

Sebagai contoh, sekiranya anda membuat carian telefon pintar di web, Facebook kelak akan turut memperlihatkan iklan yang berkaitan dengan telefon pintar kepada anda. Kaedah ini dilihat akan menguntungkan kedua-dua pihak, pengiklan dan juga pengguna.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru di arena web, dimana pihak Google turut melakukan perkara sama, dimana Google menggunakan data daripada carian Google Search dan memperlihatkannya melalui AdSense. Facebook mengatakan mereka mengumpulkan data berdasarkan kepada Like dan pautan yang diklik di NewsFeed.

Facebook mengatakan fungsi ini akan diperkenalkan kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu, sebelum ia diperluaskan ke seluruh dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd